MALAYSIA

Pos sementara respons segera dirancang di JRTB, tingkat tindak balas kecemasan - Nanta

Bernama 28/08/2025 | 04:35 MYT
Alexander Nanta berkata. kementeriannya mengambil maklum akan kebimbangan berhubung ketiadaan fasiliti kecemasan seperti balai bomba, pasukan pertahanan awam dan klinik kesihatan di sepanjang JRTB, khususnya laluan Gerik-Jeli.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan akan melaksanakan penempatan pos sementara sebagai unit respons segera di sepanjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB), khususnya laluan Gerik-Jeli.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perancangan itu sebagai langkah jangka pendek meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan di lokasi berisiko dan akan digerakkan menerusi penyelarasan di peringkat jajahan atau daerah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Lalu Lintas Daerah.

Beliau berkata, kementeriannya mengambil maklum akan kebimbangan berhubung ketiadaan fasiliti kecemasan seperti balai bomba, pasukan pertahanan awam dan klinik kesihatan di sepanjang laluan berkenaan kerana penyediaan kemudahan itu melibatkan bidang kuasa kementerian lain

"Namun demikian, KKR sentiasa bersedia untuk bekerjasama dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara juga bagi memastikan kehadiran awal pasukan penyelamat di kawasan terlibat," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu langkah penyelesaian terhadap masalah ketiadaan sebarang fasiliti kecemasan yang mampu memberikan respons segera sekiranya berlaku kemalangan jalan raya besar di sepanjang laluan JRTB itu.

Mengenai kemalangan maut yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lepas , Nanta berkata, kementerian telah mengambil tindakan segera dengan memasang 385 lampu solar di laluan FT004 JRTB itu bagi meningkatkan pencahayaan dan keselamatan.

"Namun, pencahayaan ini dikaitkan pula dengan gangguan habitat gajah yang kini sering dilihat melintas jalan, berkemungkinan akibat gangguan persekitaran.

"Kita tidak mengambil ringan isu ini dan sedang bekerjasama dengan agensi hidupan liar bagi mencari jalan terbaik mengurangkan kesan terhadap haiwan tersebut," katanya.

Dalam konteks pengurusan kemalangan, Nanta memaklumkan, KKR telah mengintegrasikan Sistem Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAMS) dengan Sistem Laporan Polis Bersepadu (IPRS) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan analisis dan tindakan pantas terhadap lokasi berisiko.

Selain itu, beliau berkata, beberapa inisiatif turut dilaksanakan termasuk pembaikan lokasi 'hotspot', pemasangan lampu jalan di kawasan kemalangan, serta pengurangan had laju jalan Persekutuan dan lebuh raya sepanjang musim perayaan.

-- BERNAMA



#Kementerian Kerja Raya #pos sementara #Jalan Raya Timur Barat #JRTB #Alexander Nanta Linggi