Polis Kelantan masih meneruskan lagi usaha mengesan seorang lagi pelajar Sekolah Kebangsaan Tohoi yang hilang sejak 23 Ogos lalu.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, pasukan mencari dan menyelamat masih lagi meneruskan pencarian Sasa Sobrie, 8, yang masih lagi belum ditemui.

Pencarian ditumpukan di kawasan sekitar Sungai Nenggiri dan hutan berhampiran.

"Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Tohoi masih menjalankan operasi mencari mangsa yang masih hilang satu lagi, dipercayai Sasa Sobrie dan kita jangka operasi ini berpanjangan. Kalau tidak jumpa kita tengok pada keadaan," kata Mazlan kepada pemberita dalam satu sidang media di sini petang Ahad.

Beliau turut menjelaskan kumpulan SAR dikecilkan, namun usaha mengesan mangsa terakhir itu akan diteruskan sehingga menemui jasad atau sebarang penunjuk baru.


Bulan lalu, enam pelajar sekolah berkenaan ditemui dengan dua ditemui hidup manakala empat lagi meninggal dunia.

Mereka yang ditemui hidup dikenali sebagai Norein Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11 manakala yang meninggal dunia dikenali sebagai Juvina David, 7, Linda Rosli , Ika Ayel dan Haikal Yaakob.

Sementara itu dalam perkembangan lain, polis Kelantan masih mengesan dua lagi suspek utama bagi membantu siasatan melibatkan pergaduhan wanita yang rakamannya mencari viral di laman sosial.

Mazlan menjelaskan dua suspek berkenaan dipercayai suspek utama dalam kes berkenaan dan dikenali sebagai Ija dan Mek Bi. Masing-masing berusia dalam lingkungan 20-an.

Kedua-dua suspek ini turut berada dalam rakaman berkenaan dan dipercayai masih bersembunyi di Kelantan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 354 Kanun Keseksaan manakala seorang lagi suspek sudah dituduh di mahkamah pada 29 Oktober lalu.