Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat sebagai sebuah 'parti bercelaru' yang tidak mampu untuk mentadbir negara berikutan kemelut dalaman yang berpunca daripada kepimpinan tertinggi parti itu sendiri.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata parti (PPBM) itu tidak boleh menyalahkan sesiapa sebaliknya melihat kemelut yang berlaku itu berpunca daripada kepimpinan parti yang gagal untuk mengurus dan menyelesaikan masalahnya yang berlaku.

"Kemelut parti itu bukan orang luar yang nampak..tapi anggota PPBM sendiri yang nampak dan sebab itu ada yang buat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan mereka keluar parti ramai-ramai bila tidak yakin lagi.

"Kecelaruan yang berlaku dalam parti itu memang jelas jadi tak akan kita nak bagi mereka kepercayaan. Rakyat perlu lihat dan menilai sendiri apa yang sedang berlaku dalam parti tersebut," katanya selepas majlis Penyerahan 500 Basikal kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Kuala di sini, hari ini.

Sebelum ini, anggota PPBM mendesak ROS mempercepatkan siasatan dan mengambil tindakan kerana mereka mendakwa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan PPBM pada 30 Dis lepas tidak sah dan melanggar peraturan perlembagaan parti.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang menyifatkan PPBM sebagai 'parti huru-hara' berikutan kegagalan mengurus dan menyelesaikan masalah yang berlaku.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata beliau melihat isu pengagihan kerusi Parlimen dalam kalangan komponen parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dilihat berlarutan dan tidak akan selesai.

Sebelum ini, dalam pengagihan 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diperuntukkan paling banyak kerusi iaitu 52 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan 51 kerusi, DAP (35) dan Parti Amanah Negara (Amanah) 27 kerusi.

-- BERNAMA