Kementerian Pendidikan memberi kuasa penuh kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk membuat keputusan berhubung kes histeria di sekolah, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata selain PPD, pihak sekolah juga dibenar mencari penyelesaian terbaik termasuk dengan menggunakan kaedah perubatan tradisional.

"Tapi (bawa pelajar) ke hospital adalah perkara nombor satu. Selepas itu nak panggil panggil bomoh, dukun, kita biarkan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-39 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Perak di sini hari ini.

Mahdzir diminta mengulas mengenai kes serangan histeria yang berlaku di tiga buah sekolah minggu ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1, SMK Kemumin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian 3 Kelantan.

Mengenai kes murid dipatuk ular dua tiga hari ini, beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri dan PPD perlu memberi arahan kepada pihak sekolah agar mengambil langkah berjaga-jaga.

"Kontraktor pembersihan ada di sekolah, mungkin boleh digerakkan sekali untuk usaha pembersihan," kata Mahdzir.

Semalam seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong di Rembau dilapor dipatuk ular ketika mengikuti pendidikan jasmani di padang sekolah.

Kejadian itu berlaku selang sehari selepas seorang murid Tahun Satu SK Datu Hashim, Kota Baharu meninggal dunia dipercayai akibat dipatuk ular di sekolahnya.