PPM Tawau tahan enam PATI di perkampungan atas air

Bernama
Januari 21, 2018 14:15 MYT
Seramai enam PATI ditahan Pasukan Polis Marin Tawau di Batu 4 Jalan Apas Tawau. - Gambar fail Bernama
Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) di perkampungan atas air Batu 4 Jalan Apas di sini, awal hari ini.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Yazib Abd Aziz berkata kesemua PATI berumur lingkungan 25 hingga 44 tahun dan berasal dari Tawi-Tawi, Filipina itu ditahan pada jam 1 pagi oleh Unit Risikan Marin yang bertindak selepas menerima maklumat.
"Anggota PPM telah memeriksa sebuah bot jongkong dan menahan tiga lelaki di dalamnya yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
"Tiga lelaki lagi ditahan di atas jeti kerana kesalahan yang sama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Yazib berkata kesemua tahanan dan bot bernilai RM34,000 dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA
#bot jongkong #Jalan Apas #Mohd Yazib Abd Aziz #pati #polis marin #PPM #Tawau