PPN: Perlis bakal beralih ke Fasa Tiga tidak lama lagi - MB

Bernama
Julai 19, 2021 20:40 MYT
AZLAN: Saya mengesyorkan semua sektor peruncitan dibenar beroperasi semula termasuk kedai makan, restoran, gerai dengan syarat petugas dan pelanggan mesti telah menerima dua dos vaksinasi. - Gambar fail Astro AWANI
KANGAR: Perlis yakin ia akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi, berikutan tahap vaksinasi di negeri itu telah mencapai 36.1 peratus ketika ini.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man menerusi hantaran di laman Facebook miliknya berkata Perlis masih perlukan sekitar 3.9 peratus kadar vaksinasi penduduk dewasa bagi membolehkan ia beralih ke Fasa Tiga PPN.
Sebelum ini kerajaan menetapkan bagi mebolehkan Fasa Dua PPN beralih ke Fasa Tiga, nilai ambang yang ditetapkan adalah usaha vaksinasi dua dos perlu mencapai kadar 40 peratus, penggunaan ICU di tahap selamat, dan kes harian COVID-19 berada di bawah angka 2,000.
Sementara itu, beliau berkata pada sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara maya yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin telah membuat beberapa keputusan penting berkaitan PPN yang melibatkan negeri-negeri yang berada di Fasa Dua PPN.
"Saya juga telah mengesyorkan supaya semua sektor peruncitan di seluruh Malaysia dibenarkan beroperasi semula termasuklah kedai makan, restoran, gerai makan dan lain-lain lagi, bagaimanapun syaratnya semua petugas dan pelanggan setiap premis runcit mestilah telah menerima dua dos vaksinasi selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.
Perlis merupakan antara lapan negeri yang telah beralih ke Fasa Dua PPN setakat ini selain Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA
#Perlis #COVID-19 #vaksin #Pelan Pemulihan Negara #vaksinasi #dua dos #Azlan Man #sektor peruncitan #SOP #Majlis Keselamatan Negara #Fasa dua #PPN #fasa tiga #nilai ambang