SEREMBAN: Pejabat Pembangunan Negeri Negeri Sembilan (PPNNS) optimis negeri itu kekal menjadi negeri sifar miskin tegar pada tahun ini meskipun terdapat 120 ketua isi rumah (KIR) dikenal pasti kembali ke kelompok itu setakat ini.

Pengarah PPNNS, Roslan Mat Nong berkata, pelbagai langkah dilaksanakan pihaknya untuk tujuan itu termasuk berkolaborasi dengan syarikat yang menawarkan pekerjaan atau agensi pemberi bantuan bagi memulakan perniagaan sekali gus meningkatkan sumber pendapatan mereka.

"Setakat ini tak banyak (kembali ke kategori miskin tegar), data terkini hanya 120 KIR dan angka ini hanya sementara.

"Kita akan laksanakan langkah jangka panjang dalam sekurang-kurangnya 10 bulan ini untuk bawa mereka keluar daripada kelompok miskin tegar... kita tak mahu sekadar memberi bantuan 'one-off' tapi mahu mereka menjana pendapatan sendiri," katanya kepada pemberita pada majlis bersama media di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya juga kini sedang meneliti profil mereka bagi mengenal pasti sama ada mereka dalam golongan produktif atau sebaliknya sebelum sebarang bentuk bantuan yang bersesuaian diberikan.

Dalam pada itu, Roslan berkata, pihaknya juga berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengekalkan rebat elektrik sebanyak RM40 selama 12 bulan kepada hampir 500 KIR daripada kelompok miskin tegar yang berjaya disifarkan sehingga penghujung tahun lepas.

Beliau berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan memandangkan mereka sedang dalam proses peralihan daripada miskin tegar ke tahap miskin selain berkemungkinan belum stabil sekiranya beberapa bantuan ditarik balik.

"Perbincangan awal menunjukkan respons positif untuk mereka nikmati rebat itu, kita merupakan negeri pertama ambil inisiatif ini (kekal rebat elektrik) kerana menyedari ia penting.

"Saya juga telah maklumkan kepada pengurusan tertinggi dan pejabat Menteri Besar..Ini perkara yang perlu dilihat secara menyeluruh bukan sahaja TNB tetapi agensi pemberi bantuan lain," katanya.

Pada 22 Dis lepas, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Negeri Sembilan berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar membabitkan sejumlah 3,530 KIR lebih awal menerusi pelbagai inisiatif yang digerakkan melalui PPNNS. - BERNAMA