KOTA BHARU: Pusat Penyelidikan Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) akan turut memberi tumpuan menghasilkan pelbagai jenis vaksin penyakit lain selain vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Kecil Rangkaian Kerjasama Vaksin (VCN) telah bermesyuarat pada 7 Jun, yang diketuai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengenal pasti jenis vaksin yang akan dibangunkan, platform teknologi yang diguna pakai dan peluang kerjasama pemindahan teknologi bersama pelbagai pemain industri dari dalam dan luar negara.

Katanya selaras dengan penaiktarafan Malaysia Genome Vaccine Institute (MGVI), Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) diamanahkan untuk mentadbir urus penyelidikan dan pembangunan vaksin negara. 

"NIBM mengaktifkan Konsortium Majlis Pakar Penyelidikan dan Pembangunan Vaksin Negara, yang terdiri daripada empat Majlis Pakar iaitu Penemuan Vaksin, Kajian Pra-Klinikal, Kajian Klinikal dan Proses Pembangunan dan Ekosistem Vaksin.

"Majlis Pakar ini akan menilai fungsi, keupayaan dan kemampuan sumber yang ada untuk menjayakan PPVN," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Min House Camp, Kubang Kerian, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzah berkata mesyuarat pertama Konsortium Majlis Pakar Penyelidikan dan Pembangunan Vaksin Negara atau Expert Council Consortia (ECC) telah diadakan pada 14 Jun lalu yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NIBM.

"Pada 15 Julai, Pejabat Pengurusan Projek Pembangunan Vaksin Malaysia (MVPO) di bawah MOSTI ditubuhkan bagi mengurus, merancang, melapor, dan menyelaras semua pihak berkepentingan, untuk berkolaborasi bagi mencapai matlamat PPVN.

Beliau berkata terdapat dua fasa yang ditetapkan dalam pengeluaran vaksin iaitu jangka masa pendek selama setahun hingga lima tahun, manakala bagi jangka masa panjang pula mengambil masa di antara lima hingga 10 tahun.

"Bagaimanapun, penumpuan kita adalah lebih kepada vaksin-vaksin yang membabitkan penyakit-penyakit tropika yang biasa ada dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

"Bagi pelan pembangunan vaksin ini ia sudah pun selesai dari segi dokumen, malah peruntukan-peruntukan tertentu juga sudah mula kita terima bagi membolehkan lebih banyak kelengkapan dilengkapkan di PPVN," katanya.

-- BERNAMA