KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menyasarkan peningkatan pengguna pengangkutan awam kepada 70 peratus menjelang akhir tahun berbanding hanya 45 peratus pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan berkata sasaran peningkatan itu selaras dengan hasrat kerajaan menerusi pembukaan semula sektor ekonomi dan sempadan antarabangsa bermula hari ini.

Jelasnya, kesemua kekerapan rel juga akan ditingkatkan bagi menyokong pertambahan kapasiti penumpang sekali gus dapat memberikan keselesaan kepada pengguna khususnya ketika bulan Ramadan yang bakal tiba.

"Untuk laluan Kelana Jaya sahaja kita dah menurunkan pengurangan masa itu daripada empat (4) minit ke tiga (3) minit. Ini bagi memastikan keselesaan penumpang yang mungkin hari pertama bekerja setelah lama bercuti atau bekerja dari rumah.

"Selain itu, pihak kami juga akan meningkatkan dari segi frekuansi pada waktu hujung minggu dan cuti umum  kerana jika dilihat pada waktu ini tren memakan masa sehingga  10 hingga 12 minit maka kita mengambil inisiatif untuk mengurangkannya kepada lapan (8) minit.

"Ini termasuk bagi laluan transit aliran ringan (LRT)  Kajang, Ampang, Sri Petaling, Kelana jaya dan  transit aliran massa (MRT) Kajang yang lain kecuali  perkhidmatan Monorel yang masih mengekalkan setiap 12 minit. ," katanya pada satu sidang media selepas melakukan tinjauan di LRT Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) dan LRT Plaza Masjid Jamek pada Jumaat. 

Di samping itu Amir menambah, pihaknya turut memberikan kemudahan kepada pengguna perkhidmatan awam itu ketika bulan Ramadan yang bakal tiba pada hujung minggu ini.  

"Kita juga akan memanjangkan waktu puncak petang sepanjang bulan Ramadan dari pukul 4 hingga 7 malam berbanding pukul 5 petang hingga 7.30 malam.

"Ini bagi memberi peluang dan kemudahan penumpang yang ingin mendapatkan juadah atau membuat persiapan berbuka puasa bersama keluarga di rumah," katanya.
 
Pada masa sama, Amir berkata, pihaknya juga yakin bahawa orang ramai akan kembali menggunakan pengangkutan awam itu sebagai mod pilihan utama untuk ke tempat kerja dan ke tempat awam setelah negara beralih ke fasa endemik.

"Sebenarnya penurunan jumlah penumpang sebelum ini berlaku susulan daripada penularan varian Omicron yang melanda negara kita dan situasi tersebut sekaligus telah mengakibatkan penurunan kepada 290,000 penumpang. 

"Namun, Alhamdulillah, sejak semalam kita dapat melihat peningkatan yang agak ketara dalam jumlah penumpang sehingga telah mencecah melebihi 360,000," katanya.

Sementara itu, Amir berkata Prasarana kini menyasarkan untuk menaik taraf semua tren monorel kepada empat gerabak pada suku ketiga tahun ini.

Katanya, transformasi itu bagi memenuhi soal keselamatan, keselesaan dan kapasiti penumpang secara holistik.

Jadual kekerapan Rel bermula 1 April 2022