NATIONAL
PRCA Malaysia raih pengiktirafan global, kukuhkan reputasi di pentas antarabangsa
Anugerah Gold Award for PR Leader of the Future yang diraih Mohd Bani (gambar) mengiktiraf kepimpinan strategik dan visi komunikasi beliau di peringkat global.
KUALA LUMPUR: Industri perhubungan awam dan komunikasi Malaysia terus mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila barisan kepimpinan serta ahli Public Relations and Communications Association (PRCA) Malaysia meraih pelbagai pengiktirafan global, sekali gus membuktikan keupayaan pengamal PR tempatan bersaing dengan yang terbaik di dunia.
Presiden PRCA Malaysia yang juga pengasas dan Pengarah Urusan bzBee Consult Sdn Bhd, Prof. Mohd Said Bani C.M. Din pula dianugerahkan Gold Award for PR Leader of the Future oleh World Communication Forum Association (WCFA) di acara berprestij Davos Communications Awards 2025 yang berlangsung di Switzerland pada 11 April lalu.
Anugerah tersebut mengiktiraf kepimpinan strategik dan visi komunikasi Bani di peringkat global susulan kejayaannya sebelum ini apabila dinobatkan sebagai Communicator of the Year oleh International Association of Business Communicators (IABC) Asia-Pacific di Manila.
Turut mencuri tumpuan ialah syarikat ahli korporat PRCA Malaysia, bzBee Consult, yang merangkul Anugerah Gangsa bagi kategori Kempen Komunikasi Global Terbaik menerusi kempen “From Discovery to Sustainability: Sarawak’s Brand Evolution as the Gateway to Borneo”.
Kempen ini menampilkan penceritaan strategik bertaraf dunia dalam mempromosi pelancongan Sarawak ke pasaran antarabangsa.
Dalam kategori sama, Anugerah Emas dimenangi syarikat DTEK dari Ukraine menerusi kempen ‘Fight for Light’, manakala WORDUP PR dari Jerman meraih Anugerah Perak menerusi kempen ‘UN AIDS Communication Reaches over 3 Billion People’.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat PRCA Malaysia, Stefanie Braukman turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila diumumkan sebagai Industry Champion dalam PRNews Top Women Awards 2025.
Majlis rasmi penyampaian anugerah dijadual berlangsung di New York pada Jun ini.
Mengulas kejayaan ini, Mohd Bani berkata: “Rangkaian antarabangsa dan pengiktirafan global bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan penting bagi industri PR Malaysia untuk terus berkembang. PRCA Malaysia komited membuka laluan antarabangsa kepada ahlinya, dan memastikan standard profesional kita dihormati dunia."
“Pencapaian ini juga harus menjadi peringatan kepada kerajaan dan syarikat-syarikat besar negara agar menghargai bakat tempatan. Sudah tiba masanya kita menghentikan tabiat melantik agensi asing untuk projek nasional apabila pengamal tempatan terbukti mampu menggalas tanggungjawab di peringkat global,” tegasnya.
Sementara itu, Presiden WCFA, Maxim Behar berbangga dengan pencapaian pemimpin komunikasi dari seluruh dunia yang, katanya, "mencetus perubahan, meruntuhkan tembok, dan membina jambatan perpaduan di pentas dunia."
Kejayaan ini sekali lagi menegaskan peranan PRCA Malaysia dalam mengangkat profesionalisme, etika dan kecemerlangan dalam komunikasi strategik.
Melalui penyertaan aktif di peringkat antarabangsa, PRCA Malaysia bukan sahaja meneraju pembangunan industri secara tempatan, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai kuasa komunikasi bertaraf dunia.
#PRCA Malaysia
#Public Relations and Communications Association
#World Communication Forum Association
#Prof Mohd Said Bani C M Din
#Davos Communications Awards