PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menyenaraikan semua premis yang mempunyai risiko penularan COVID-19 dalam sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bermula Jumaat ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan peningkatan jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini sejak kebelakangan ini.

"Senarai itu membolehkan pemilik premis dan orang ramai mengambil tindakan wajar bagi mencegah terjadinya kluster berpunca daripada premis tersebut.

"Selain itu, ia membolehkan premis perniagaan terbabit diletakkan 'hotspot' terhadap kemungkinan pembentukan kluster yang besar," katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan sistem HIDE di sini hari ini.

Khairy berkata dengan adanya senarai premis itu juga, ia membolehkan orang ramai melaksanakan pengawasan kendiri termasuk dengan tidak berkunjung ke sesuatu premis atau kawasan berisiko.

Sistem HIDE, dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan, bertujuan memberi amaran awal dalam mencegah peningkatan jangkitan COVID-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

Memperincikan mengenai HIDE, Khairy berkata amaran awal yang dikeluarkan sistem yang menggunakan analisis data raya dan kecerdasan buatan itu berupaya mengelak kerajaan melaksanakan tindakan drastik seperti penutupan premis dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ini adalah langkah kerajaan utk memastikan intervensi kita mempunyai suatu pendekatan yang lebih bersasar," katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Justeru, Khairy menyarankan semua premis untuk mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera bagi membolehkan sistem HIDE menjalankan analisis yang tepat.

"HIDE menjalankan analisis berdasarkan beberapa pemboleh ubah seperti rekod kes positif yang pernah mengunjungi premis, tempoh lawatan, luas kawasan serta pengaliran udara," kata Khairy.

Bagi mengelak premis dikategorikan sebagai 'hotspot' oleh sistem HIDE, beliau menasihatkan pemilik premis untuk melakukan ujian saringan terhadap pekerja, merekodkan aktiviti keluar masuk dengan lebih ketat serta mewajibkan pengunjung mengimbas kod QR My Sejahtera.

-- BERNAMA