Premis perniagaan, restoran beroperasi 12 jam bermula 1 April - DBKL

Hasimi Muhamad
Mac 31, 2020 04:54 MYT
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan dalam kenyataan hari ini berkata arahan penjarakan sosial sejauh satu meter mestilah dilaksanakan. Gambar fail/ Bernama.
Selaras dengan Perintah kawalan Pergerakan Fasa 2, semua premis perniagaan hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 8.00 pagi sehingga 8.00 malam berkuat kuasa 1 April sehingga 14 April ini.
Arahan dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu meliputi pasar raya, kedai runcit, kedai serbaneka serta restoran.
Sementara itu, pasar berbangunan kecuali pasar borong Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi pada pukul 6 pagi hingga 1 tengah hari sahaja.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan dalam kenyataan pada Selasa berkata arahan penjarakan sosial sejauh satu meter mestilah dilaksanakan,
"Arahan ini adalah selaras dengan Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.
Sekiranya arahan itu gagal dipatuhi, DBKL akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik perniagaan, katanya.
#COVID-19 #DBKL #Kedai Serbaneka #Kuala Lumpur #perintah kawalan pergerakan #Premis perniagaan