NATIONAL
Presiden China Xi Jinping adakan lawatan negara ke Malaysia pada 15-17 April

Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas Xi Jinping ketika lawatan kerja ke China pada November tahun lalu. - Foto/fail/PMO/SADIQ ASYRAF
PUTRAJAYA: Malaysia akan menerima lawatan negara daripada Presiden China, Xi Jinping yang dijadual bermula 15 hingga 17 April ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, lawatan negara itu bukan sahaja dinanti-nantikan, malah mencerminkan hubungan perdagangan yang lebih baik antara Kuala Lumpur-Beijing.
"Untuk maklumat penuh dan terperinci mengenai jadual lawatan negara ini, saya mohon rakan-rakan media mendapatkan maklumat penuh daripada Kementerian Luar.
"Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa lawatan ini, bukan hanya dinantikan malah sebahagian daripada usaha kerajaan sebagai sebuah negara perdagangan, di mana kita ingin melihat hubungan perdagangan yang lebih baik dengan pelbagai negara termasuk China," katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan lawatan kerja ke China pada November tahun lalu memaklumkan akan Xi untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Campur China pada tahun ini.
Pada 4 Oktober 2013, Xi bersama isteri, Peng Liyuan, diberi sambutan rasmi di Parlimen bersempena lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia selama tiga hari.
Ketibaan Xi ketika itu disambut oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami