Presiden Marcos berlepas pulang ke Filipina selepas lawatan negara tiga hari

Bernama
Julai 27, 2023 23:40 MYT
Ferdinand Marcos Jr dan isteri bergambar bersama Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah sebelum berlepas pulang ke Filipina, di Kulai, 27 Julai 2023. --fotoBERNAMA
KULAI: Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr berlepas pulang ke republik itu semalam selepas melengkapkan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia.
Pesawat khas yang membawa Marcos dan delegasinya berlepas dari Terminal Penerbangan Perniagaan Senai di sini, pada pukul 7.15 malam tadi.
Turut mengiringi beliau isteri Louise Araneta-Marcos. Duta Filipina ke Malaysia Charles C. Jose juga berada di sana untuk mengucapkan selamat jalan kepada Presiden dan isteri.
Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyampaikan sebuah album foto khas sempena lawatan berkenaan kepada Marcos.
Sebelum berlepas pulang, Marcos melakukan kunjungan hormat ke atas Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar and Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Berangkat sama menyambut kunjungan hormat Marcos yang diiringi isteri Louise Araneta, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
"Presiden Ferdinand Marcos Jr. merupakan sahabat karib DYMM Sultan Ibrahim yang dikenali sejak zaman latihan ketenteraan di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat," menurut hantaran di halaman Facebook rasmi Sultan Ibrahim semalam.
Presiden Marcos dan isteri juga diraikan dalam satu majlis santapan minum petang di istana.
Marcos menjawat jawatan Presiden Filipina Ke-17 sejak Jun tahun lepas.
Pada Julai 2019, Sultan Ibrahim melawat Filipina atas jemputan peribadi Presiden Rodrigo Duterte dan baginda menerima Darjah Kebesaran Sikatuna yang membawa gelaran "Datu" daripada Duterte.
-- BERNAMA
#Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar #Ferdinand Marcos Jr #Filipina #kunjungan hormat