Ringkasan AI
- Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi menerima sambutan negara di Istana Negara sempena lawatan negara pertama beliau ke Malaysia sejak 2014.
- Lawatan ini melibatkan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan pertukaran memorandum persefahaman antara Malaysia dan Mesir.
- Jumlah dagangan Malaysia-Mesir meningkat 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.
KUALA LUMPUR: Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi diberikan sambutan negara di Istana Negara pada Sabtu bersempena lawatan negara pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Jun 2014, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim berkenan menyambut ketibaan El-Sisi pada 10.08 pagi.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Istiadat sambutan di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten (DOM) Mohd Fahmy Harun disusuli 21 das tembakan meriam daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.
Presiden Mesir kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada lima pegawai dan 89 anggota lain-lain pangkat daripada tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkumi Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia yang diketuai Mejar Muhammad Waqiyudin Abd Rahman.
Seri Paduka Baginda kemudian berkenan menerima menghadap El-Sisi serta delegasi Mesir selain menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan di Dewan Seri Maharaja.
Sultan Ibrahim kemudiannya meraikan El-Sisi bersama delegasi kerajaan Mesir dalam Majlis Jamuan Negara di Dewan Santapan Utama.
Lawatan El-Sisi merupakan kunjungan pertama Presiden Mesir ke Malaysia setelah hampir tiga dekad selepas kunjungan terakhir pada November 1997 oleh Mohamed Hosni Mubarak ketika menghadiri Sidang Kemuncak G-15 di Kuala Lumpur dan lawatan rasmi sebagai Naib Presiden Mesir pada 1979.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan El-Sisi, yang diiringi menteri-menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan Mesir, turut dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Anwar bagi menilai kemajuan kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Mesir, diikuti Majlis Minum Petang Rasmi dihoskan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana.
Malaysia dan Mesir telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1959.
Pada 2025, Mesir merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dalam kalangan negara Afrika.
Jumlah dagangan Malaysia dengan Mesir bernilai RM3.08 bilion (US$0.72 bilion), dengan nilai eksport Malaysia ke Mesir sebanyak RM2.55 bilion (US$0.60 bilion) dan nilai import dari Mesir berjumlah RM0.53 bilion (US$0.12 bilion).
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, jumlah dagangan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion (US$0.87 bilion).
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah tujuan lawatan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi ke Malaysia?
A: Lawatan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi ke Malaysia adalah lawatan negara pertama beliau sejak memegang jawatan pada Jun 2014, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. - Q: Siapakah yang hadir semasa sambutan negara di Istana Negara?
A: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut hadir semasa sambutan negara di Istana Negara. - Q: Apakah acara utama yang berlangsung semasa lawatan Presiden Mesir ke Malaysia?
A: Acara utama termasuk istiadat sambutan negara, pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama, majlis persembahan cendera kenangan, Majlis Jamuan Negara, mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, pertukaran memorandum persefahaman (MoU), dan Majlis Minum Petang Rasmi. - Q: Sejak bila hubungan diplomatik antara Malaysia dan Mesir terjalin?
A: Malaysia dan Mesir telah menjalin hubungan diplomatik sejak tahun 1959. - Q: Berapakah nilai dagangan antara Malaysia dan Mesir serta kedudukan Mesir sebagai rakan dagang Malaysia di Afrika?
A: Pada 2025, Mesir merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di Afrika dengan jumlah dagangan bernilai RM3.08 bilion (US$0.72 bilion). Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, jumlah dagangan meningkat 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion (US$0.87 bilion).