[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Presiden MPN bebas 7 tuduhan pecah amanah

Sinar Harian 01/10/2025 | 06:00 MYT
Raduan berkata, keputusan itu membuktikan kebenaran akhirnya terserlah sekali gus membersihkan namanya sebagai tokoh akademik dan pemimpin institusi negara.
KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Raduan Che Rose melahirkan rasa syukur selepas Peguam Negara menarik balik tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT) bernilai RM271,000 yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.


Ringkasan AI
  • Peguam Negara menarik balik tujuh pertuduhan pecah amanah bernilai RM271,000 terhadap Raduan, yang disifatkan beliau sebagai bukti kebenaran dan pembersihan nama sebagai tokoh akademik; beliau menjelaskan dana peribadi dan overdraf digunakan demi kelangsungan MPN ketika krisis kewangan pasca COVID-19.
  • Firma guaman AM Zaharil & Co menyatakan pertuduhan berpunca daripada salah faham terhadap pendahuluan modal dan bayaran kemajuan projek yang sah, serta audit forensik mengesahkan tiada bukti salah guna dana ditemui.
  • Raduan menyeru agar reputasinya dipulihkan dan spekulasi dihentikan, sambil menegaskan keputusan pengurusan tidak wajar dikriminalisasikan; beliau kekal komited untuk berkhidmat kepada negara melalui dunia akademik dan kepemimpinan intelektual.


Beliau berkata, keputusan itu membuktikan kebenaran akhirnya terserlah sekali gus membersihkan namanya sebagai tokoh akademik dan pemimpin institusi negara.

“Sejak awal saya menegaskan tuduhan yang dikenakan adalah tidak masuk akal.

"Rekod rasmi jelas menunjukkan saya tidak pernah menyalahgunakan dana, malah saya berkorban menggunakan simpanan sendiri dan kemudahan overdraf berjumlah RM381,000 untuk membiayai sewa pejabat, gaji kakitangan dan utiliti ketika MPN berdepan krisis kewangan pasca COVID-19. Tanpa pengorbanan ini, MPN mungkin terhenti operasinya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Raduan turut menegaskan keputusan pengurusan yang dibuat ketika itu adalah prerogatif sah demi kelangsungan institusi dan tidak wajar dikriminalisasikan.

“Prerogatif pengurusan adalah budi bicara yang diberi kepada pemimpin organisasi untuk bertindak dengan kebijaksanaan dan pengalaman. Ia tidak boleh dianggap salah laku jenayah hanya kerana melibatkan keputusan kewangan yang sukar,” ujarnya.

Menurutnya, pertuduhan tersebut bukan sahaja mencemarkan reputasi peribadi, malah menjejaskan imej MPN.

Justeru, beliau menyeru agar reputasinya segera dipulihkan dan semua spekulasi tidak berasas dihentikan.

“Saya tetap komited untuk terus berkhidmat kepada negara melalui dunia akademik dan kepemimpinan intelektual. Saya berdoa agar Allah SWT memberi kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan tanah air,” katanya.

Sebelum ini, Raduan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPN Global Reach (MPNGR), Profesor Datuk Dr Kefli Mahbol didakwa di Mahkamah Sesyen Kajang atas tujuh pertuduhan pecah amanah bernilai RM271,000.

Antara dakwaan itu ialah meluluskan pemindahan dana berjumlah RM71,000 ke dalam akaun Kefli ketika beliau Presiden MPN, serta meluluskan lima pembayaran lain berjumlah RM200,000 berkaitan projek UKMShape-MPNGR antara Mac 2023 hingga April 2024. Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah.

Pertuduhan berkenaan difailkan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan serta denda, namun kes berakhir selepas semua tuduhan ditarik balik oleh pihak pendakwaan.

Sementara itu, firma guaman AM Zaharil & Co yang mewakili Raduan dalam satu kenyataan berasingan merakamkan penghargaan kepada Peguam Negara serta pasukannya kerana meneliti semula fakta kes dengan teliti.

“Keputusan menarik balik tuduhan ini mencerminkan keberanian dan integriti Jabatan Peguam Negara dalam menegakkan kedaulatan undang-undang berasaskan bukti sahih, sekali gus memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara,” kata kenyataan itu.

Firma tersebut turut menjelaskan dua asas pertuduhan itu adalah salah faham pihak penyiasat dan pendakwa, iaitu melibatkan pendahuluan modal kepada MPNGR yang sebenarnya telah dibayar balik, serta bayaran kemajuan projek daripada UKMShape yang sah digunakan untuk operasi syarikat.

“Audit forensik yang dijalankan lebih dua bulan selepas pertuduhan difailkan juga mengesahkan tiada bukti salah guna dana ditemui. Malangnya, perbezaan antara ‘pendahuluan’ dan ‘bayaran kemajuan’ gagal difahami sejak awal,” katanya.

Firma itu menegaskan kes ini menjadi pengajaran penting agar keputusan pengurusan tidak dijadikan asas pendakwaan jenayah terhadap mana-mana pemimpin organisasi. - Sinar Harian






#Presiden MPN #raduan che rose #kes pecah amanah #Peguam Negara