KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) yang juga Timbalan Presiden Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC), Ramli Abd Samad meninggal dunia hari ini.

Setiausaha Agung MASAC Raja Azizan Suhaimi dalam kenyataan berkata Allahyarham meninggal dunia pada 6 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat penyakit motor neuron yang dihidapinya sejak setahun lepas.

Katanya, MASAC menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, lapor Bernama.

Beliau berkata, Allahyarham yang meninggalkan seorang balu dan dua anak, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam selepas solat zuhur.

Menurut Raja Azizan, Allahyarham telah berjaya membantu memberikan khidmat rawat pulih kepada lebih 20,000 penagih dadah dalam negara termasuk 2,500 dari luar negara seperti Iran, Yaman dan Arab Saudi sejak 1991.

"Beliau sering menasihatkan para pemulih dadah agar menggunakan pengalaman mereka membantu para penagih dadah kerana tidak mahu tengok seorang pun anak muda jadi mangsa dadah dan dalam masa sama ingin bantu ibu bapa yang ada anak terlibat dengan dadah supaya mereka diberi kekuatan," katanya.

Semasa hayatnya, Ramli pernah dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) sempena Majlis Konvokesyen Ke-19 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2021 atas jasa bakti membangunkan usaha pemulihan dadah negara, serta memberikan perkhidmatan lebih 30 tahun daripada sudut pencegahan, pemulihan serta pencegahan lanjutan dadah.