[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

Presiden Republik Kyrgyz diberi sambutan rasmi di Perdana Putra

Faida Rahim 25/06/2025 | 02:00 MYT
Zhaparov kemudian memeriksa kawalan kehormatan di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, pada Selasa. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA : Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov, yang mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, di sini, pada Selasa.
Ketibaan beliau pada jam 9 pagi disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, diikuti lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebagai tanda hormat.
Zhaparov kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.
Zhaparov kemudian menandatangani buku tetamu sebelum mesyuarat dua hala dengan Anwar.
Menurut Kementerian Luar Negeri, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan peluang untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh diperbaharui dan tenaga hijau, industri halal, komoditi pertanian, pelancongan, pendidikan serta pembangunan kapasiti melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
Kedua-dua pemimpin turut dijadual menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) meliputi bidang pelancongan, transformasi digital dan keselamatan siber, pendidikan tinggi, kesihatan, promosi perdagangan, kerjasama ekonomi, kerjasama saintifik dan penyelidikan serta pertukaran Nota Berkaitan pembangunan belia dan latihan untuk diplomat.
Ini merupakan kunjungan sulung Zhaparov ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan Presiden pada Januari 2021.
Pada 2024, Republik Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah RM40 juta (AS$8.74 juta).
Eksport utama Malaysia ke Republik Kyrgyz merangkumi produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk berasaskan pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, peralatan dan alat ganti.
Sementara, import utama dari Republik Kyrgyz pula termasuk bahan dan produk kimia, produk elektrik dan elektronik serta makanan yang diproses.
Malaysia dan Republik Kyrgyz menjalin hubungan diplomatik pada 21 Mei 1992, selepas kemerdekaan Kyrgyzstan susulan pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991.
#Presiden Republik Kyrgyz #Sadyr Zhaparov #lawatan rasmi #PM Anwar Ibrahim