MALAYSIA

Presiden Tanzania angkat sumpah bagi penggal kedua

Bernama 04/11/2025 | 02:00 MYT
Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan, menghadiri majlis angkat sumpah jawatan di Dodoma, Tanzania. - Foto REUTERS
DAR ES SALAAM: Presiden Tanzania Samia Suluhu Hassan mengangkat sumpah bagi penggal kedua pada Isnin meskipun negara itu masih berada dalam keadaan darurat, lapor agensi berita Jerman dpa.


Ringkasan AI
  • Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan, mengangkat sumpah bagi penggal kedua walaupun negara itu masih dalam keadaan darurat, dengan kemenangan besar sebanyak 97.66 peratus undi.
  • Perintah berkurung masih dikuatkuasakan selepas rusuhan pada hari pengundian dengan sekolah dan kedai kekal ditutup, sementara akses internet terganggu dan pasukan keselamatan dilaporkan menggunakan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan.
  • Samia menyuarakan dukacita terhadap kehilangan nyawa dan harta benda, menuding pihak asing sebagai punca keganasan serta memberi amaran pasukan keselamatan akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan huru-hara.


Dalam ucapannya, Samia menggesa pihak berkuasa negara Afrika Timur itu untuk "memulihkan keadaan seperti sediakala" dan memberi amaran kepada pihak yang cuba menimbulkan kekacauan supaya tidak berbuat demikian.

Menurut keputusan rasmi yang diumumkan Sabtu lalu, Samia memperoleh kemenangan besar dengan 97.66 peratus undi.

Perintah berkurung yang dikuatkuasakan selepas rusuhan pada hari pengundian masih berterusan untuk hari kelima berturut-turut, dengan sekolah dan kedai kekal ditutup.

Menurut organisasi pemantau NetBlocks, akses internet yang berulang kali digantung sejak pilihan raya masih terganggu, khususnya bagi platform media sosial dan aplikasi pesanan.

Pada hari pengundian, protes ganas tercetus berikutan penyingkiran calon utama pembangkang.

Pasukan keselamatan dilaporkan menggunakan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan.

Jumlah korban sebenar tidak dapat dipastikan, namun Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 10 penunjuk perasaan terbunuh, manakala pihak pembangkang mendakwa angka kematian mencecah ratusan.

Samia meluahkan rasa dukacita terhadap kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda, sambil menuding jari kepada pihak asing antara punca keganasan itu.

Dalam masa sama, beliau memberi amaran bahawa pasukan keselamatan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan huru-hara.

"Kita mesti pastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi," katanya.

Selepas mengambil alih jawatan pada 2021, Samia pernah berjanji untuk membuka ruang kebebasan, namun janji itu belum tertunai sepenuhnya.

Parti pemerintahnya, Chama Cha Mapinduzi (CCM) telah memerintah negara dengan populasi kira-kira 70 juta penduduk sejak kemerdekaannya lebih 60 tahun lalu.

Aktivis hak asasi manusia pula mendakwa penahanan bermotif politik masih berlaku.

-- BERNAMA





#Samia Suluhu Hassan #angkat sumpah #darurat #kemenangan besar