SINGAPURA: Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam berharap semangat "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" terus menjadi panduan kepada hubungan kerjasama Singapura-Malaysia dalam dunia yang semakin berpecah-belah.
Dalam ucapannya semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Tharman menegaskan hubungan antara kedua-dua negara berjiran itu mempunyai keistimewaan yang sukar ditemukan di tempat lain.
"Kita berkongsi sejarah yang menyaksikan kita bersatu dalam keadaan yang sukar, diikuti dengan perpisahan yang sama sukarnya bagi kedua-dua belah pihak.
"Kita juga dari semasa ke semasa mempunyai isu penting yang perlu diselesaikan, iaitu isu yang mencerminkan saling kebergantungan antara kedua-dua negara. Namun, kita tidak membiarkan isu-isu itu menjejaskan keupayaan kita untuk terus meneroka bidang kerjasama baharu yang positif," katanya semasa majlis menghadap di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Teks ucapan itu disiarkan menerusi laman sesawang Pejabat Presiden Singapura.
Tharman, yang diiringi isterinya Jane Ittogi Shanmugaratnam, sedang mengadakan Lawatan Negara pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden pada September 2023.
Sementara itu, Tharman turut mengetengahkan perkongsian ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara, dengan memetik Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang akan datang, yang saling melengkapi ekonomi kedua-dua negara.
"Apabila RTS siap kelak, ia juga akan meningkatkan interaksi antara rakyat kedua-dua negara, sama ada dalam bidang pelancongan, penjagaan kesihatan mahupun pendidikan.
"Ia akan membantu generasi muda rakyat Singapura dan Malaysia menjalani kehidupan dengan keakraban, penghargaan dan pemahaman yang baik antara satu sama lain," tambahnya.
Tharman mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia dari 13 hingga 15 Julai atas jemputan Yang di-Pertuan Agong.
Lawatan itu merupakan kunjungan balas terhadap Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024, sekali gus mencerminkan hubungan dua hala yang erat dan sekian lama terjalin antara kedua-dua negara berjiran.
-- BERNAMA