Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung peranan signifikan beliau dalam memerangi keganasan.

Pemimpin Malaysia itu, katanya, telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kumpulan-kumpulan keganasan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.

"Perdana Menteri telah memainkan peranan besar untuk tidak membenarkan ISIS, atau anda gelar Daesh, dan lain-lainnya untuk wujud. Beliau benar-benar berpendirian tegas dalam menentang keganasan di Malaysia dan merupakan penyokong kuat bagi pendirian itu.

"Jadi itu amat penting bagi Amerika Syarikat," kata Trump pada lawatan Najib ke Rumah Putih di sini pada Selasa.

Terdahulu, Trump menyambut mesra Najib yang tiba di Rumah Putih untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika itu, puncak lawatan kerja beliau ke Washington D.C dari 11 hingga 13 Sept.

Selain mengadakan pertemuan empat mata di Pejabat Oval, kedua-dua pemimpin turut mengetuai mesyuarat delegasi Amerika Syarikat dan Malaysia yang terdiri daripada anggota Kabinet dan pegawai kanan kerajaan kedua-dua negara.

Pada mesyuarat delegasi itu, Trump turut merakamkan penghargaan kepada Najib, yang berada di Washington D.C atas undangan presiden, berhubung pelaburan Malaysia di Amerika Syarikat.

Dalam kenyataannya pada mesyuarat itu, perdana menteri menyampaikan mesej penting kepada presiden bahawa Malaysia bersama-sama dengan Amerika Syarikat dalam perjuangan memerangi keganasan.

Beliau mengambil perhatian matlamat pentadbiran Trump untuk menjadikan Amerika Syarikat dan dunia sebagai tempat yang selamat, sesuatu yang menurut Najib, apa yang beliau juga mahu capai untuk Malaysia dan melangkauinya.

"Kami komited untuk memerangi Daesh, IS, Al-Qaeda, Abu Sayyaf - apa pun namanya. Mereka ialah musuh Amerika Syarikat, mereka juga musuh Malaysia.

"Dan kami mainkan peranan kami untuk memastikan kawasan kami di dunia ini selamat," kata Najib, sambil menegaskan kumpulan keganasan telah mencetuskan huru-hara di seluruh dunia.

Najib memanfaatkan pertemuan beliau dengan pemimpin kuasa besar dunia terkemuka itu untuk menyentuh tentang peri pentingnya sokongan diberi kepada kerajaan negara Islam berpendirian sederhana serta memenangi hati dan minda masyarakat Islam dalam usaha memerangi ancaman keganasan.

"Dalam hal ini, perkara paling penting ialah memberi sokongan kepada rejim dan kerajaan negara Islam yang berpendirian sederhana serta progresif di seluruh dunia kerana itulah wajah Islam yang benar-benar tulen.

"Lebih rapat hubungan anda dengan rejim progresif dan berpendirian sederhana, maka akan lebih berkesanlah usaha untuk memenangi hati dan minda dunia Islam," kata perdana menteri.

Perbincangan di Rumah Putih itu berlangsung ketika Malaysia dan Amerika Syarikat menyambut ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan dua hala antara dua negara berkenaan tahun ini.

Najib menegaskan bahawa Amerika merupakan sahabat Malaysia sejak sekian lama.

"Tahun ini menyaksikan ulang tahun ke-60 hubungan antara kita. Saya berharap pertemuan hari ini akan menjadikan hubungan ini lebih kukuh pada tahun-tahun akan datang," kata beliau.

Sebaik sahaja perdana menteri turun daripada kereta sejurus tiba di Rumah Putih yang terletak di Pennsylvania Avenue, Trump menyambut Najib dengan senyuman mesra sambil bersalaman dengannya.

Kemudian wakil media merakamkan gambar kedua-dua pemimpin itu sebelum presiden mempersilakan Najib ke Bilik Roosevelt untuk menanatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan mereka.

Di pihak Amerika Syarikat, peserta yang disenaraikan bagi mesyuarat delegasi itu ialah Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rex Tillerson, Setiausaha Pertahanan James Mattis, Ketua Turus Jeneral John Kelly, Penasihat Keselamatan Negara Lt Jen H.R. McMaster dan Penasihat Kanan Jared Kushner.

Para pemerhati mendapati barisan delegasi Amerika Syarikat mencerminkan keutamaan yang diberikan Washington di bawah pentadbiran Trump terhadap mesyuarat itu khususnya dalam membuka lembaran baharu dalam hubungannya dengan Malaysia, sebuah negara yang mempunyai 30 juta penduduk pelbagai kaum dan agama di Asia Tenggara yang berdaya maju.

Delegasi Malaysia pula terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Tan Sri Zulhasnan Rafique, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

-- BERNAMA