Prestasi bayaran balik cukai 2025 cecah RM22.5 bilion libatkan lebih 3.7 juta kes - LHDN

LHDN berkata jumlah tersebut termasuk peruntukan tambahan bayaran balik berjumlah RM3.5 bilion yang diterima oleh LHDN pada 25 hingga 31 Dis, 2025. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) hari ini memaklumkan bayaran balik cukai yang selesai diproses sepanjang 2025 berjumlah RM22.5 bilion melibatkan 3,713,025 kes.
Ringkasan AI
- LHDN maklumkan bayaran balik cukai sepanjang 2025 mencapai RM22.5 bilion melibatkan 3,713,025 kes, termasuk tambahan RM3.5 bilion untuk syarikat PKS.
- Komitmen LHDN menyelesaikan bayaran balik cukai Tahun Taksiran 2023 pada suku pertama 2026 dan Tahun Taksiran 2024 pada hujung 2026 selepas Amanat Tahun Baharu 2026 oleh PM Anwar Ibrahim.
- Pembayar cukai disarankan mengemas kini maklumat akaun bank bagi memastikan proses bayaran balik dilaksanakan lancar; LHDN menegaskan proses bayaran dilakukan berperingkat dengan keutamaan kepada PKS yang mempunyai tunggakan.
Susulan Amanat Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, LHDN komited untuk menyelesaikan bayaran balik cukai yang berbangkit dalam Tahun Taksiran 2023 pada suku pertama 2026 dan bayaran balik cukai yang berbangkit dalam Tahun Taksiran 2024 pada hujung 2026.
LHDN juga menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada LHDN adalah tepat dan terkini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.
"Ini kerana terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul," katanya.
Selain itu, LHDN berkata tiada bayaran balik dapat diproses kerana melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan.
"LHDN akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik dan keutamaan turut diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan PKS," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


