MALAYSIA

Prestasi Jemaah Menteri baik, mungkin hanya rombakan kecil - Penganalisis

Irfan Faruqi 10/11/2025 | 13:00 MYT
Dr. Yusri berkata, prestasi Jemaah Menteri di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah baik ketika ini dan tidak memerlukan rombakan besar-besaran. - Gambar faial/Bernama
KUALA LUMPUR: Rombakan Kabinet yang dijangka berlaku dalam masa terdekat mungkin melibatkan pertukaran kecil sahaja.


Ringkasan AI
  • Rombakan kabinet yang akan berlaku mungkin melibatkan pertukaran kecil, disebabkan oleh prestasi baik Jemaah Menteri di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap tinggi.
  • Kementerian yang masih menghadapi masalah penyampaian mungkin akan mengalami perubahan, namun kesan kepada sokongan Parlimen Datuk Seri Anwar kekal kukuh tanpa kehilangan sokongan.
  • Spekulasi mengenai rombakan kabinet semakin meningkat selepas ucapan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, yang tempohnya sebagai Ahli Dewan Negara bakal berakhir, tetapi ketokohan Anwar menenggelamkan isu kosong jawatan menteri yang lama.


Pensyarah Pengajian Polisi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Prof. Madya Dr. Yusri Ibrahim berkata, prestasi Jemaah Menteri di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah baik ketika ini dan tidak memerlukan rombakan besar-besaran.

"Mungkin akan ada sedikit pergerakan walaupun mungkin tidak secara besar-besaran. Begitu juga untuk urus isu penyampaian. Secara jujurnya Kabinet ini agak berprestasi tinggi bagi sebuah Kerajaan Perpaduan dengan pelbagai dinamik dan idealisme.

“Cuma apabila ada sesetengah kementerian yang masih bergelut dengan isu penyampaian, ini yang mencetuskan kehebohan yang akhirnya menimbulkan persepsi tidak baik dalam kalangan orang awam. Perkara ini juga perlu diberi perhatian oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali pula berpandangan, umum tidak merasai kehilangan atau kekosongan jawatan menteri (Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam) ketika ini.

"Kita tahu walaupun Pakatan Harapan (PH) hanya ada 82 kerusi dalam Dewan Rakyat, tetapi beliau (Anwar) mendapat sokongan yang sangat kukuh dalam Parlimen; 152 ahli. Selepas tiga tahun, nampak (sokongan) tidak terjejas.

“Ini bermaksud, Anwar boleh lakukan lantikan, penyesuaian dan penggantian portfolio. Namun, saya lihat walaupun ada kekosongan yang lama untuk dua jawatan menteri, ketokohan Anwar memimpin negara telah menenggelamkan isu tersebut,” ujarnya.

Pada Jumaat lepas, spekulasi mengenai rombakan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan semakin hangat selepas ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memberi bayangan sedemikian susulan tempohnya sebagai Ahli Dewan Negara bakal berakhir awal Disember ini.

Tempoh keanggotaan Zambry sebagai Ahli Dewan Negara akan berakhir pada 2 Disember depan selepas mengangkat sumpah pada 3 Disember 2022. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Luar dan seterusnya sebagai Menteri Pendidikan Tinggi.

Turut mengangkat sumpah pada tarikh sama ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul merupakan satu-satunya senator yang berkhidmat selama dua penggal berbanding tiga yang lain.



#rombakan kabinet #Dewan Negara #MITI #Kementerian Ekonomi