KUALA LUMPUR: Prestasi dagangan Malaysia pada Jun 2023 merosot dengan jumlah dagangan jatuh 16.3 peratus daripada RM265.4 bilion pada Jun 2022 kepada RM222.1 bilion.

Ia sekali gus memberi impak kepada eksport dan import yang turut mencatatkan penurunan masing-masing 14.1 peratus dan 18.9 peratus. 

Bagaimanapun, Jabatan Perangkaan (DOSM) melaporkan lebihan dagangan Malaysia meningkat kepada RM25.8 bilion tahun ke tahun.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan eksport didorong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

"Eksport domestik bernilai RM93.8 bilion, menyumbang 75.7 peratus kepada jumlah eksport, mencatatkan penurunan 15.2 peratus pada Jun 2023.

"Eksport semula berjumlah RM30.2 bilion, menyusut 10.3 peratus, berbanding Jun 2022.

"Import turun 18.9 peratus daripada RM121.1 bilion kepada RM98.2 bilion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan lebihan dagangan Malaysia pada Jun 2023 meningkat kepada RM25.8 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Jelasnya, ini merupakan lebihan dagangan yang ke-38 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Berbanding Mei 2023, eksport dan lebihan dagangan meningkat 3.7 peratus dan 64.4 peratus, manakala import dan jumlah dagangan menguncup masing-masing 5.4 peratus dan 0.5 peratus.

Meninjau dari kumpulan barangan, 144 daripada 257 kumpulan menunjukkan penurunan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, terutamanya keluaran petroleum bertapis.

Bagi import, 174 daripada 259 kumpulan merekodkan pertumbuhan negatif.

Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia bagi bulan Jun 2023

Mohd Uzir menjelaskan, pengurangan eksport disumbang terutamanya ke Amerika Syarikat (-RM3.2 bilion), diikuti oleh Kesatuan Eropah (-RM2.7 bilion), Bangladesh (-RM1.9 bilion), Jepun (-RM1.8 bilion), India (-RM1.7 bilion), Thailand (-RM1.6 bilion), China (-RM1.5 bilion), Taiwan (-RM1.1 bilion) dan Hong Kong (-RM1. 0 bilion).

Sementara itu, penurunan import terutamanya disumbangkan dari China (-RM6.1 bilion), Taiwan (-RM2.7 bilion), Republik Korea (-RM2.6 bilion), Amerika Syarikat (-RM2.5 bilion), Singapura (-RM2.4 bilion), Indonesia (-RM1.9 bilion), Australia (-RM1.6 bilion), Kesatuan Eropah (-RM1.6 bilion) dan India (-RM1.1 bilion).

Mengulas lanjut mengenai eksport, penurunan didorong oleh minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM5.3 bilion); keluaran petroleum (-RM5.1 bilion); gas asli cecair (-RM2.6 bilion); petroleum mentah (-RM1.4 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak sawit (-RM1.4 bilion) dan kimia & bahan kimia (-RM1.3 bilion).

Sementara itu, penguncupan import direkodkan bagi barangan elektrik & elektronik (-RM7.2 bilion); keluaran petroleum (-RM7.1 bilion); kimia & bahan kimia (-RM2.2 bilion); barangan perkilangan logam (-RM1.5 bilion); kelengkapan pengangkutan (-RM1.4 bilion); gas asli cecair (-RM1.1 bilion); barangan besi & keluli (-RM1.0 bilion).