MALAYSIA

Prestasi rel Prasarana terus catat peningkatan setakat Julai

Bernama 06/09/2025 | 05:01 MYT
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Amir Hamdan berkata pencapaian itu didorong oleh usaha berterusan seluruh warga kerja syarikat berkenaan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Prestasi perkhidmatan rel kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) terus menunjukkan peningkatan apabila mencatat Purata Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) sebanyak 0.54 juta kilometer dengan hanya 24 gangguan direkodkan setakat Julai tahun ini.


Ringkasan AI
  • Prestasi rel Prasarana meningkat dengan MKBF 0.54 juta km dan hanya 24 gangguan setakat Julai 2025, berbanding 0.33 juta km (71 gangguan) pada 2024 dan 0.16 juta km (118 gangguan) pada 2023.
  • Peningkatan hasil inisiatif strategik seperti penyelenggaraan berasaskan keadaan (CBM), penggantian komponen tren Laluan Kajang, serta projek naik taraf Laluan Ampang.
  • Fokus seterusnya ialah perkhidmatan bas, dengan MKBF dijadikan ukuran utama, bagi memastikan perjalanan lebih selamat, selesa dan boleh dipercayai.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Amir Hamdan berkata pencapaian itu didorong oleh usaha berterusan seluruh warga kerja syarikat berkenaan

"Mengendalikan jutaan perjalanan penumpang setiap hari adalah amanah besar yang dipikul, dengan matlamat memastikan setiap pengguna menikmati perjalanan selamat dan selesa ke destinasi masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejayaan tersebut hasil pelbagai inisiatif strategik termasuk pelaksanaan program penyelenggaraan berasaskan keadaan (CBM) serta penggantian sub-komponen sistem tren dan isyarat bagi Laluan Kajang.

"Selain itu, pendekatan syarikat seperti pelaksanaan beberapa projek naik taraf dan penyelenggaraan khas turut memberi impak positif kepada ketersediaan serta kebolehpercayaan sistem, antaranya projek penyelenggaraan separa hayat tren Laluan Ampang," katanya.

Sebagai perbandingan, bagi keseluruhan 2024, MKBF direkodkan pada paras 0.33 juta kilometer dengan 71 gangguan, manakala pada 2023 hanya 0.16 juta kilometer dengan 118 gangguan.

MKBF yang diguna pakai sejak 2023 menjadi penanda aras utama bagi mengukur prestasi perkhidmatan rel dengan matlamat mengurangkan kekerapan gangguan teknikal.

Bagi fokus seterusnya, Amir berkata Prasarana akan menumpukan usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan bas dengan mengadaptasi MKBF sebagai ukuran utama.

Beliau menegaskan Prasarana komited memperkukuh peranannya sebagai penyedia pengangkutan awam utama negara, selain memastikan perjalanan harian rakyat lebih selesa, selamat dan boleh dipercayai sama ada di atas jajaran rel mahupun jalan raya.

Maklumat lanjut mengenai prestasi perkhidmatan rel dan bas termasuk MKBF, jumlah perjalanan penumpang serta fasiliti stesen boleh dirujuk di laman web rasmi www.myrapid.com.my.

-- BERNAMA




#prasarana #perkhidmatan rel #tunjuk peningkatan #kurang gangguan