[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

PRK Ayer Kuning: Pemuda Amanah buat laporan polis terhadap calon PN

Bernama 14/04/2025 | 10:09 MYT
Ahmad Munzirie (tengah) mewakili Pemuda Amanah Perak membuat laporan polis di IPD Tapah pada Isnin terhadap calon PN berhubung isu tipu tauliah. - Gambar/ Sinar Harian
TAPAH: Pemuda Amanah Perak membuat laporan polis berhubung dakwaan penipuan dalam permohonan tauliah mengajar agama oleh calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Abd Muhaimin Malek.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak Ahmad Munzirie Ahmad Kabir membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di sini hari ini.
Ahmad Munzirie mendakwa Abd Muhaimin memperoleh tauliah mengajar agama daripada Jabatan Mufti Negeri Perak meskipun memegang jawatan politik, yang disifatkannya bercanggah dengan garis panduan sedia ada.
Beliau berkata kemungkinan berlaku pemalsuan maklumat atau dokumen rasmi yang boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan, seperti Seksyen 420 kerana menipu dan Seksyen 468 kerana pemalsuan dokumen.
"Calon terbabit dipercayai memperoleh tauliah walaupun tidak layak kerana memegang jawatan politik dan kini bertanding pada pilihan raya. Ini bukan sahaja melanggar peraturan sedia ada, malah mengingkari titah Sultan Perak selaku Ketua Agama Islam negeri," katanya.
Justeru, beliau memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan tanpa kompromi bagi menjunjung keluhuran undang-undang serta institusi diraja.
-- BERNAMA
#PRK Ayer Kuning #laporan polis #tauliah mengajar #Abd Muhaimin Malek