Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Slim ialah pada 29 Ogos depan.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos depan.

"Tempoh berkempen adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding sehingga pukul 11:59 malam 28 Ogos 2020.

"Undi pos bagi luar dan dalam negara iaitu tarikh buka 23 julai 2020 dan tarikh tutup 13 Ogos 2020," katanya pada sidang media di Menara SPR di sini pada Rabu.

Bagi PRK DUN Slim ini, SPR akan melaksanakannya selari dengan prosedur operasi standard (SOP) pengawalan wabak COVID-19 sebagaimana nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Azmi berkata, satu garis panduan pencegahan COVID-19 yang ditambah baik selepas PRK Chini, Pahang akan dikuatkuasakan.

"Perkara utama yang diketengahkan ialah penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan pensanitasi tangan dan saringan suhu badan.

"SOP khas ini akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses pilihan raya iaitu di taklimat petugas, proses penamaan calon, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi," ujarnya.

SPR juga akan memastikan sebarang bentuk aktiviti kempen adalah selari dengan arahan kerajaan dan berkuatkuasa pada waktu yang berkenaan bagi mengawal penularan wabak.

"Antaranya, jumlah kehadiran peserta bagi kempen pilihan raya melalui ceramah atau arahan tidak lagi dihadkan kepada 250 orang, tetapi tertakluk kepada saiz keluasan ruang dan penjarakan sosial," kata Azmi.

Selain itu, SPR turut menubuhkan dua Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti sepanjang tempoh berkempen.

Ia akan dianggotai wakil daripada pihak polis, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.

"SPR akan menggunakan Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjong Malim sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi," tambah Azmi.


SPR dalam pada itu turut mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan penyandangnya, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59 tahun, meninggal dunia 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018 lalu, Mohd Khusairi mengekalkan kerusi dengan majoriti 2,183 undi.

Beliau menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang bertanding atas tiket PKR, iaitu Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN N.58 Slim merupakan pilihan raya kecil yang ke-12 selepas PRU14.

BACA: Tarikh penting PRK DUN Slim pada 23 Julai - SPR

BACA: ADUN Slim, Khusairi Talib meninggal dunia