PRK Kinabatangan: 43.23 peratus keluar mengundi setakat 1 tengah hari - SPR

Pengundi hadir bagi menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sekolah Kebangsaan Bilit hari ini. -Foto Bernama
KINABATANGAN: Sebanyak 43.23 peratus atau 20,873 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing setakat 1 tengah hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengikut pecahan kawasan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi, iaitu sebanyak 44.50 peratus, diikuti DUN Sukau (44.32 peratus) dan DUN Kuamut (41.45 peratus).
Kesemua 36 pusat mengundi yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran dibuka pada 7.30 pagi tadi membolehkan 48,282 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu dan pusat mengundi berkenaan akan ditutup secara berperingkat hingga 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
-- BERNAMA
Dapatkan keputusan dan berita terkini PRK Kinabatangan dan PRK Lamag di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

