Polis menerima 11 laporan berhubung pergaduhan dan provokasi antara penyokong parti-parti bertanding sepanjang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata daripada jumlah itu, pihaknya membuka dua kertas siasatan iaitu membabitkan seorang anggota polis dan penyokong parti cedera dalam kejadian berasingan.

"Kami membuka dua kertas siasatan membabitkan Seksyen 332 iaitu sengaja mendatangkan ketakutan dengan seorang anggota polis cedera di dahi selepas dibaling batu oleh penyokong parti dalam kejadian di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Kandu.

"Dalam kejadian berasingan di (Sekolah Kebangsaan) SK Tanah Liat, seorang penyokong parti cedera di pipi selepas dibaling dengan kayu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat penjumlahan undi di
Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam di sini, malam ini.

Beliau berkata setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan pihaknya akan memanggil mereka yang terlibat dalam dua kejadian itu untuk membantu siasatan selepas selesai PRK Parlimen Permatang Pauh.

BACA: Polis siap sedia sepenuhnya untuk hari pengundian hari ini - Khalid

Abdul Rahim berkata proses pengundian hari ini berjalan lancar namun, terdapat beberapa kejadian termasuk insiden provokasi sehingga berlaku ketegangan antara penyokong parti yang bertanding.

"Polis memang menjangkakan beberapa kawasan akan berlaku provokasi antara parti bertanding dan kami telah bersiap sedia dengan meletakkan keanggotaan mencukupi di lokasi-lokasi berkenaan.

"Polis juga berjaya mengawal keadaan berkenaan dan menjaga keselamatan orang ramai terutama pengundi. Kami komited menjalankan tugas," katanya.

Menurutnya semua peti undi juga dapat dibawa ke pusat penjumlahan undi di IKBN Bukit Mertajam tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada penyokong parti yang menang dalam PRK Parlimen Permatang Pauh supaya tidak meraikannya dengan mengadakan perarakan di jalan raya.

"Polis akan mengambil tindakan serta-merta jika mendapati ada penyokong parti yang meraikan kemengan dengan berarak di mana-mana lokasi di negeri ini," katanya.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (PRM) dan Salleh Isahak (Bebas).

BACA: Tiada jaminan lebih ramai keluar mengundi pada hujung minggu - SPR