PRK Port Dickson: Pengundi keluar awal, bimbang mungkin hujan

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 13, 2018 02:50 MYT
Para pengundi beratur untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi PRK Parlimen P132 Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, 13 Okt, 2018. --fotoBERNAMA
Faktor cuaca yang baik pada sebelah pagi membuatkan orang ramai mengambil peluang keluar lebih awal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.132 Port Dickson.
Di Sekolah Kebangsaan (SK) Linggi, pengundi mula beratur seawal jam 7.45 pagi sebelum pusat pengundian berkenaan dibuka tepat jam 8 pagi.
Seorang pesara guru, Abdul Aziz Muhammad, 80 tahun, antara pengundi yang terawal tiba di pusat pengundian itu berkata, ini merupakan kali ke-13 dia menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Katanya, dia tiba seawal jam 7.50 pagi berikutan bimbang dengan faktor cuaca yang tidak menentu pada sebelah petang.

Pasangan suami isteri warga emas dibantu oleh petugas SPR untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih berdaftar di SK Linggi. Syabas SPR ! @501Awani #PRKPortDickson #PDMemilih pic.twitter.com/eUJxM7nbC9

— Shuhada Kadir (@shuhadakadir) October 13, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Sejak dahulu lagi, memang saya tak pernah terlepas keluar mengundi. Tetapi, semasa Pilihanraya Umum (PRU) 14 lepas, kena beratur panjang. Kali ini, sebaik sampai, terus dapat mengundi.
“Lagi pula, sekarang musim hujan. Jadi, pagi-pagi lagi saya dah siap keluar. Apabila selesai mengundi, rasa lega, seronok, semua ada,” katanya yang datang ke pusat mengundi bersama isterinya Fatimah Ahmad, 79 tahun.

Sekitar hari pengundian PRK Port Dickson. Orang ramai mula datang ke pusat mengundi seawal jam 7.45 pagi. Cuaca cerah pagi ini. Ayuh keluar mengundi ! @501Awani pic.twitter.com/zQVMXFTFDk

— Shuhada Kadir (@shuhadakadir) October 13, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
SK Linggi merupakan satu daripada 32 pusat pengundian yang dibuka di kawasan Parlimen ini bagi membolehkan 68,317 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
PRK itu diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan pada 12 September lepas bagi membolehkan Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat dan dilantik sebagai perdana menteri kelapan.
Pada PRU14 yang lalu, Danyal Balagopal yang juga bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia menang selesa dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Calon PAS #PRKPortDickson Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar tiba sekitar 9.10 pagi bagi meninjau proses pengundian di SK Linggi. @501Awani pic.twitter.com/n75JCvtrp5

— Shuhada Kadir (@shuhadakadir) October 13, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu, Fatimah berkata, beliau berharap siapa sahaja yang bakal diangkat sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dapat menaburkan khidmat terbaik lebih-lebih lagi dalam membantu kehidupan rakyat.
“Kita haraplah nanti Ahli Parlimen baru dapat bantu kita banyak. Ada yang lebih senang dapat bantuan, tapi kita yang tidak bekerja tidak dapat bantuan apa-apa,” katanya.
Selain Anwar, turut bertanding adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad, calon Pas Mohd Nazari Mokhtar, serta bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan.
Tiga calon Bebas lain adalah Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan Stevie Chan.
#pengundi #PRK Port Dickson