KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan berhubung isu "fatwa" politik yang dikeluarkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Johor, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kenyataan berbaur 3R (kaum, agama dan raja) itu dibuat Muhyiddin pada Sabtu lepas (2 Sept).

"PDRM mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Muhyiddin yang menyifatkan tindakan mengundi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kayat sebagai haram. Setakat ini, dua laporan polis telah diterima berhubung kenyataan itu.

"Temu janji rakaman percakapan dengan beliau mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah ditetapkan pada 11 Sept ini di pejabatnya di Bangunan MIDA di ibu negara oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Terdahulu, sewaktu berucap pada ceramah PN di Kempas, Johor Bahru, Presiden Bersatu itu telah "menjatuhkan" hukum haram untuk mengundi Suhaizan yang juga calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRK itu, Sabtu ini.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata siasatan terhadap Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyentuh institusi diraja dengan mempertikai kuasa lembaga pengampunan telah lengkap.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata kertas siasatan berkaitan isu 3R terhadap Abdul Hadi adalah satu-satunya yang dibuka pihaknya sepanjang tempoh berkempen mulai 28 Ogos hingga Selasa.

Mohd Shuhaily turut menasihati orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform itu sehingga menyalahi undang-undang.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

-- BERNAMA