PRK Rantau: Saya tidak berapa optimis, tapi harap kita menang - Tun M

Isabelle Leong
April 12, 2019 15:19 MYT
Dr Mahathir ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Gala ANSARA di Seri Kembangan malam ini. - Astro AWANI
“Saya tidak berapa optimis tetapi saya harap kita menang.”
Itu kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad apabila ditanya sama ada beliau yakin calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Sabtu.
Perdana Menteri berkata pihaknya mengharapkan kemenangan di kerusi itu walaupun peluangnya tipis kerana ia merupakan persaingan yang amat sengit.
“Kita berharap kita mendapat kemenangan walaupun ia sukar.
“Kalau menang pun, undi majoritinya sedikit, dan kalau kalah, saya berharap undi majoritinya juga sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Gala Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (ANSARA) di sini pada Jumaat.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Dr Streram; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan dua lagi calon bebas iaitu Malarvizhi Rajaram dan Mohd Nor Yassin.
Ia diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi DUN itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, terbatal dan tidak sah.
#Barisan Nasional #Mahathir Mohamad #Mohamad Hasan #Pakatan Harapan #pilihan raya kecil #PRK DUN Rantau #UMNO