PRK Tanjung Piai: Jangan letak calon bidan terjun

Sinar Harian
September 25, 2019 04:34 MYT
MD AKBAL (gambar kecil): Saya melihat bahawa pengundi di Tanjung Piai amat menghormati Allahyarham sebagai seorang yang baik budinya dan juga anak tempatan. - Foto Sinar Harian
Calon 'bidan terjun' tidak sepatutnya diletakkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang dijangka berlangsung Oktober depan.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Md Akbal Abdullah berkata, situasi politik negara kini sudah berubah dan sangat berbeza berbanding sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Beliau berkata, mana-mana parti bertanding perlu membuat persediaan dengan menampilkan calon yang sama berkaliber dengan penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik atau mungkin lebih lagi.
"Saya melihat bahawa pengundi di Tanjung Piai amat menghormati Allahyarham sebagai seorang yang baik budinya dan juga anak tempatan.
"Jadi untuk mengisi kekosongan kerusi, sudah tentu rakyat mahukan calon setanding dengan Allahyarham atau lebih baik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
BACA: PH perlu pertahankan kerusi Tanjung Piai - Loke
BACA: PRK Tanjung Piai: UMNO bincang dulu dengan rakan komponen
Md Akbal berkata, mana-mana parti tidak kira Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang sama untuk menang pada kerusi Parlimen berkenaan sekiranya calon ditampilkan adalah betul.
"Saya rasa yang akan mendahului adalah anak tempatan. Sebab ini yang akan diambil kira dahulu. Bidan terjun, tidaklah.
"Jika ada bidan terjun, abaikan sahaja kerana itu tidak akan menguntungkan pun," katanya.
BACA: Ahli Parlimen Tanjung Piai meninggal dunia
BACA: 'Itu kehendak Allah' - Ibu Md Farid reda pemergian anak sulung
Dr Md Akbal bagaimanapun berkata, beliau tidak melihat kemenangan mana-mana parti dalam PRK kali ini sebagai gambaran penuh terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk di negeri Johor secara keseluruhan.
#anak tempatan #baik budi #Barisan Nasional #berkaliber #bidan terjun #calon #Md Akbal Abdullah #Md Farid Md Rafik #Pakatan Harapan #penyandang #pilihan raya kecil #PRK Tanjung Piai #PRU14