PRK Tanjung Piai: Karmaine optimis aura Tun M mampu bantu kemenangan PH

Firdaus Azil
November 12, 2019 02:52 MYT
Karmaine optimis kehadiran Dr Mahathir akan memberi impak kepada pengundi Tanjung Piai. -Gambar fail
Calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini optimis kehadiran perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberikan impak kepada pengundi Tanjung Piai dalam menentukan wakil mereka pada pilihan raya kecil hari ini.
Beliau berkata Dr Mahathir dikenali sebagai negarawan ulung, baik di dalam mahupun luar negara.
“Kita memang harapkan, sebagai calon, kerana ia (kehadiran Tun Dr Mahathir) akan berikan impak kepada pengundi itu sendiri.
"Selain itu, ia juga untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa Tun M bukan lagi perdana menteri di bawah kerajaan Barisan Nasional, tetapi di bawah Pakatan Harapan.
“Insya-Allah aura (Dr Mahathir) sebagai seorang negarawan, pemimpin ulung yang bukan hanya dikenali di negara kita, tetapi juga di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, di sini, awal hari ini.
Semalam, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, mengajak pengundi untuk datang ke ceramah mega anjuran parti itu yang akan berlangsung di Terminal Bas Kukup pada malam 13 November.
“Saya ingin jemput semua pengundi Tanjung Piai untuk hadir ceramah mega Pakatan Harapan Rabu ini pada 13 November jam 8 malam.
"Jemput hadir beramai-ramai,” katanya melalui rakaman video semalam.
#Calon Pakatan Harapan #ceramah mega #Karmaine Sardini #Mahathir Mohamad #negarawan #pilih wakil rakyat #PRK Tanjung Piai #Tanjung Piai Memilih