HULU KELANG: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin gabungan itu mampu membentuk Kerajaan Negeri pada malam ini.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, keyakinan tersebut bersandarkan kepada sokongan para pengundi yang dilihat sepanjang 14 hari kempen termasuk  ‘Grand Finale’ malam tadi.

Mohamed Azmin mendakwa, manifestasi para pengundi menunjukkan mereka mahu membawa perubahan di Hulu Kelang dan Selangor.

“Saya optimis bahawa Insya-Allah kita akan terus mewakili pengundi di Hulu Kelang, dan insya-Allah kita membentuk Kerajaan Negeri yang baharu di Selangor malam ini.

“Jadi Iinsya-Allah dengan sokongan yang dilihat sejak minggu lalu dan malam tadi, saya yakin kita akan memperoleh majoriti besar di Hulu Kelang dan juga banyak lagi kerusi di Selangor,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Mohamed Azmin dan isteri, Datin Seri Shamsidar Taharin selesai mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Klang Gate sekitar pukul 9.10 pagi.

Ditanya apa perubahan pertama yang mahu dibawa jika PN mampu membentuk Kerajaan Negeri, calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang itu berkata, gabungan itu mahu membangunkan Selangor sebagai ‘super smart state’.

“Sebab Selangor sebuah negeri yang maju tetapi ia harus melonjak ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita mahu memastikan Selangor ini kekal sebagai bukan sahaja ‘economic powerhouse’ untuk Malaysia tetapi juga rantau ini,” tambahnya.

Kerusi Hulu Kelang menyaksikan saingan satu lawan satu antara Mohamed Azmin yang mewakili PN dengan ‘anak didiknya', Juwairiya Zulkifli daripada Pakatan Harapan (PH).

Lebih 71,000 pengundi layak menjalankan tanggungjawab di DUN berkenaan.