PRN: Berkerusi roda bukan halangan turun mengundi - Pengundi

Faida Rahim
Ogos 12, 2023 06:47 MYT
Rushila Abdul Karim dibantu oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia semasa hadir mengundi di Kompleks Muhibah Taman Nirwana, Ampang, pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
AMPANG: Masalah kesihatan dan berkerusi roda bukan penghalang bagi Rushila Abdul Karim menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Pesara guru berusia ini ketika ditemui Astro AWANI berkata, dia tetap bersemangat tiba di pusat pengundian Kompleks Muhibah Taman Nirwana, di sini, pagi tadi.
“Saya tidak pernah melepaskan peluang untuk mengundi. Walaupun berkerusi roda, saya pastikan akan sampai juga. Walau lambat, mesti sampai.
“Alhamdulillah suami dan kakak ada di sini juga menemani. Mereka juga semangat tunaikan tanggungjawab,” kata wanita berusia 59 tahun itu lagi.
Dalam pada itu, Mohd Nazid Abu Bakar dari Pandan Jaya juga tidak pernah melepaskan tanggungjawabnya memilih wakil rakyat dalam amalan demokrasi ini.
“Adalah penting untuk melaksanakan hak kami sebagai rakyat dan saya seronok melakukannya.
“Saya merupakan pesara guru dan kini menjadi pemandu teksi. Saya berharap agar negara terus berada dalam keadaan sejahtera dan rakyat adalah penentunya, jadi kena turun mengundi. Penting untuk masa depan anak cucu kita,” kata Mohd Nazid.
#PRN #berkerusi roda #mengundi #hari pengundian