KUALA LUMPUR: Kerajaan Sementara tidak boleh membuat keputusan penting atau umumkan sebarang projek.

Peringat itu ditegaskan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) kepada semua kerajaan negeri termasuk Kelantan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Katanya selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), kesemua kerajaan negeri hanyalah berstatus kerajaan sementara.

"Disebabkan fungsi kerajaan sementara adalah untuk memastikan operasi asas kerajaan berjalan sehingga kerajaan baharu dibentu, kerajaan sementara ini perlu berhenti daripada membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek-projek baharu.

"Sebarang keputusan atau pengumuman baharu secara demokratiknya adalah salah serta meragukan daripada sudut undang-undang kerana mereka tidak mempunyai kuasa selain penjaga sementara.

"Pejabat setiausaha kerajaan-kerajaan negeri perlu mengeluarkan satu garis panduan kerajaan sementara sebagaimana yang telah dilakukan di peringkat persekutuan," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, BERSIH berkata, antara garis panduan itu merangkumi "Kerajaan Caretaker tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat, atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan Kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam (public interest)."

"Apa-apa projek kerajaan-kerajaan negeri yang bakal atau telah terbubar ini mahukan hanya boleh dijanjikan di dalam manifesto mereka dan tidak boleh diumumkan sebagai satu ketetapan," ujarnya.

Justeru itu, BERSIH menggesa rakyat Malaysia untuk memantau dan mendesak semua kerajaan negeri yang bakal terbubar menghormati asas demokrasi.

Tambah BERSIH, sekiranya salah laku dibenarkan kerana berat-sebelah politik, maka semua parti akan berlumba-lumba ke arah keburukan dengan membentur undang-undang untuk memenangi pilihan raya dengan mengorbankan kepentingan awam," ujarnya.