PRN Melaka: Bomba siap siaga bantu pengundi jika berlaku banjir

Bernama
November 19, 2021 21:14 MYT
SPR menetapkan hari ini sebagai tarikh mengundi bagi PRN Melaka berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. --fotoBERNAMA
MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri bersiap sedia menggerakkan aset seperti jentera, lori dan bot untuk membawa pengundi ke pusat mengundi bagi melancarkan proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekiranya terdapat kawasan dilanda banjir.
Pengarahnya Abu Bakar Katain berkata pihaknya juga memantau beberapa kawasan sering dilanda banjir sekiranya berlaku hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir pada hari pengundian hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca di ketiga-tiga daerah di Melaka iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin adalah baik pada waktu pagi namun ribut petir pada sebelah petang.
"Beberapa tempat dan fokus kita sudah tentu di kawasan kritikal yang berpotensi berlaku banjir kerana faktor seperti kawasan rendah dan berhampiran sungai.
"Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam PRN, namun jabatan ini sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan supaya proses pengundian berjalan lancar," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: Rakyat Melaka keluar mengundi hari ini
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka hari ini dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
-- BERNAMA
#PRN Melaka #hari pengundian #banjir #bomba