KUALA LUMPUR: Isu banjir, pencemaran, penderitaan nelayan dan pelbagai lagi masalah di Melaka tidak akan berlaku sekiranya pembangunan yang diluluskan benar-benar mengikut semua saranan kajian & penilaian impak alam sekitar (EIA).

Lebih-lebih lagi di Melaka, negeri yang sarat dengan sejarah.

Kerja-kerja pembangunan yang dibuat sewenang-wenangnya tanpa mematuhi syarat yang digariskan berdasarkan EIA dan penilaian impak warisan (HIA) dikhuatiri akan memusnahkan lokasi yang mungkin mengandungi pelbagai artifak lama yang belum diteroka.

Tegas pakar arkeologi Prof Madya Dr Asyaari Muhamad, sememangnya banyak perkara yang perlu diambil kira, namun mahu tidak mahu ia perlu diikut dalam memastikan aset berharga negara, artifak warisan, juga kesejahteraan penduduk sekitarnya, tidak terjejas.

“Kita tak halang pembangunan. Namun demikian dalam menelurusi perjalanan untuk membangunkan sebuah negara itu, dengan infrastruktur dan sebagainya, isu-isu berkaitan warisan perlu dipulihara.

“Kalaulah kerajaan yang berkuasa memenuhi semua syarat-syarat di mana untuk melakukan sebarang pembangunan itu harus melakukan kajian-kajian berikut, supaya mengimbangi dan tidak sewenang-wenangnya buat apa yang kita suka, tanpa mengira kesan sampingannya terhadap nelayan dan warisan sejarah misalnya, ia tidak menjadi masalah.

“Pembangunan dan warisan itu sepatutnya selari dalam membangunkan sesebuah negara.”

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengakui, sebenarnya masih banyak lagi khazanah di bumi Melaka yang masih belum diteroka dan ditemukan.

Terutamanya warisan tampak tamadun Melayu, yang sejak dahulu kita dengar dan diajarkan di sekolah tentang keunggulan Kesultanan Melayu Melaka namun tiada buktinya yang boleh dilihat.

“Kita hanya dengar tentang Melaka ini pusatnya sebuah empayar yang amat terkenal pada abad ke-15, punyai banyak peninggalan persenjataan, perkapalan dan banyak lagi.

“Mana pergi Mendam Berahi, kapal Melayu yang dikatakan lebih besar daripada segala kapal Portugis yang ada pada zaman itu? Sampai hari ini belum lagi ditemukan satu pun bukti yang ketara daripada tamadun Melayu itu kecuali duit syiling.

“Jadi sekiranya ada kesan atau bukti-bukti peninggalan kapal yang terdapat di perairan ini, ada penemuan kapal-kapal Melayu contohnya, itu sudah satu sumbangan yang amat besar bahawa inilah dia bukti khazanah warisan kebijaksanaan orang Melayu satu ketika dahulu.”

Maka kata Asyaari, ia menjadi cabaran besar buatnya di ATMA serta semua pengkaji dan ahli arkeologi untuk menggali kekayaan lama itu yang sebenarnya satu aset besar kepada negara yang dapat dimanfaatkan untuk pembangunan jasmani dan rohani masyarakatnya.

Justeru, setiap langkah pembangunan baharu di Melaka perlu sangat menitik beratkan unsur-unsur yang disebutkan itu supaya khazanah yang terkubur di sepanjang dasar Sungai Melaka atau pesisir pantai Melaka tidak musnah begitu sahaja.

Pada masa sana, beliau menyarankan supaya badan-badan bukan kerajaan (NGO) lebih menggesa dan ke hadapan dalam menguruskan warisan sejarah, termasuk usaha memulihara, memelihara malah menggerakkan usaha mengkaji dan meneroka.

Beliau membandingkan Melaka dengan George Town, kedua-duanya menerima status Tapak Warisan Dunia UNESCO secara bersama pada 2008, menyatakan bandar di Pulau Pinang itu lebih cantik pengurusannya.

“Melaka bukan tak ada, namun kita agak ke belakang.

“Jadi, saya rasa, di masa hadapan, sudah sampai masanya NGO perlu lebih proaktif lagi, menubuhkan institusi atau jabatan yang betul-betul peduli dengan warisan dan pengurusannya.”

PRN Melaka: Masalah tidak timbul jika pembangunan patuhi semua saranan kajian

PRN Melaka: Di mana bukti tampak sejarah kehebatan Kesultanan Melayu di Melaka?

PRN Melaka: NGO sejarah & warisan perlu lebih proaktif