BANDAR HILIR: Polis Melaka memberi jaminan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu yang dijadualkan bermula 8 November ini berjalan lancar terutamanya melibatkan aspek ketenteraman awam dalam tempoh pandemik COVID-19.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya turut mengenal pasti 16 lokasi panas di ketiga-tiga daerah di negeri itu yang akan dipantau menggunakan unit dron.

“Polis kontinjen Melaka amat bersedia jika berlaku apa sahaja kemungkinan berkaitan ketenteraman awam.
Maknanya latihan yang dibuat, bermula daripada latihan ketenteraman awam sehingga jika keadaan jadi tidak terkawal pengisytiharan darurat akan dibuat.


“Semasa PRN ini juga, kontinjen Melaka mempunyai 17 pasukan ‘light strike force’ yang mana kita akan memastikan ketenteramana awam sepanjang PRN ini berjalan lancar supaya rakyat boleh keluar mengundi dan proses demokrasi itu juga berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Latihan Ketenteraamn Awam (POX) OP PRN Melaka di Balai Polis Melaka Tengah di Banda Kaba di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu beliau berkata, seramai 3,835 pegawai dan anggota polis termasuk 1,245 bantuan kontinjen luar Melaka digerakkan untuk membuat kawalan dan penugasan sepanjang tempoh PRN ini.

Ujarnya, pasukan polis juga akan menggunakan empat unit dron bagi memantau lokasi-lokasi panas selain bantuan dari Unit Pencegahan Rusuhan, Pasukan Gerak Am (PGA) dan Unit pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

“Daripada penilaian yang dibuat ketika ini kita dapati terdapat 16 kawasan yang dipanggil ‘hot spot’ yang mana akan diberi tumpuan utama oleh polis dan kita akan gunakan unit drone untuk membuat penilaian tentang keselamatan dan ketenteraman awam.

“Apabila ada drone penugasan dan persediaan kita lebih mudah, selain pandangan lebih jauh dan kita sebenarnya akan buat pengawasan di semua kawasan tetapi lokasi-lokasi panas akan diberi tumpuan lebih,”katanya.

Tambah beliau, cuti tahunan pegawai dan anggota polis Melaka turut dibekukan bagi mengadapi PRN ini.