PRN Melaka: Zahid dan Ab Rauf dikompaun RM10,000 langgar SOP

Hafizi Rosli
November 21, 2021 04:51 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Ab Rauf dikompaun RM10,000 berikutan pelanggaran SOP pencegahan COVID-19 - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh masing-masing dikompaun RM10,000 berikutan pelanggaran SOP Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kedua-dua individu itu didakwa menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka.
Ia selepas pihak KKM menjalankan siasatan melalui video tular di media sosial dan mendapati telah berlaku pelanggaran SOP semasa tempoh PRN Melaka oleh kedua-dua individu tersebut pada 19 November 2021 di kawasan Masjid Tanah.
Kompaun yang dikeluarkan berkenaan bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
Menurut kenyataan itu juga, SOP Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan PRU DUN Melaka Ke-15 telah dikeluarkan lebih awal pada 7 November 2021 sebagai rujukan agar semua pihak dapat memahami serta mematuhi SOP yang ditetapkan.
Ini bagi memastikan pilihan raya ini dijalankan dengan lancar dan mencegah daripada berlakunya penularan jangkitan COVID-19.
KKM katanya akan terus memantau pematuhan SOP dan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada individu atau organisasi yang melanggar mana-mana SOP.
KKM juga menyeru seluruh masyarakat untuk terus patuh kepada arahan SOP, sentiasa prihatin kepada keselamatan rakyat dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi pandemik COVID-19 di Malaysia.
#Zahid Hamidi #COVID-19 #langgar SOP #ab rauf