PORT DICKSON: Pembinaan pelabuhan baharu, Midport yang berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Pasir Panjang, Port Dickson merupakan pemangkin utama yang bakal mengubah landskap ekonomi kawasan itu, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek berkenaan bukan sahaja melibatkan pembangunan sebuah pelabuhan baharu, malah turut disokong dengan pembangunan kawasan perindustrian seluas 1,400 ekar yang dijangka menarik kemasukan pelaburan serta mewujudkan ekosistem ekonomi baharu di sekitar Port Dickson.
“Yang paling penting adalah yang saya rasa akan jadi game changer di Pasir Panjang ini sendiri, di Telok Kemang ini sendiri adalah sebuah pelabuhan baharu, AI Port yang pertama di negara kita.
“Kita sedia maklum bukan sahaja pelabuhan ini dibina tetapi juga kawasan perindustrian sebanyak 1,400 ekar. Kita nak mula dengan 300 ekar dan kita telah bekerjasama dengan Sime Darby dan tidak melibatkan mana-mana pengambilan tanah milik penduduk di kawasan ini,” katanya yang ditemui ketika berkempen di sekitar Pasir Panjang pada Ahad.
Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu, projek tersebut dijangka memberi limpahan ekonomi besar kepada penduduk tempatan, khususnya anak muda, menerusi peluang pekerjaan baharu yang bakal diwujudkan apabila pembangunan tersebut berkembang.
“Ini akan jadi game changer kepada keseluruhan pembangunan di kawasan Pasir Panjang sampai ke Linggi, InsyaAllah, pembangunan itu bermula dari sempadan Sepang sampai ke sempadan Melaka.”
Jelasnya lagi, fasa pertama AI Port itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, sekali gus menjadi antara projek strategik yang akan mencorakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, selain projek berkenaan, beberapa lagi projek pembangunan strategik di Port Dickson turut sedang berjalan bagi memperkukuh peluang ekonomi dan pekerjaan.
Antaranya pembangunan kawasan perindustrian baharu di Springhill termasuk perancangan kawasan data center seluas 400 ekar, yang menurut beliau mampu membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan kawasan perindustrian yang baharu, contohnya di Springhill, kita ada kawasan perindustrian yang baharu.
“Kita juga di kawasan tersebut akan merancang 400 ekar untuk kawasan pusat data. Ini juga akan memberi peluang kepada anak-anak muda mendapatkan pekerjaan,” tambahnya lagi.
Beliau turut memaklumkan pembangunan kawasan perindustrian di Bukit Pelandok menerusi kerjasama pihak swasta serta pembesaran Lexis Hibiscus 2 dengan pelaburan RM2 bilion yang dijangka terus merancakkan ekonomi Port Dickson.
Pada 14 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Pelabuhan Midport di Pasir Panjang, Port Dickson.