PUTRAJAYA: "Tiada isu."
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata demikian ketika mengulas dakwaan peruntukan RM180,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang diluluskan sehari sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 5 Jun lalu.
Menurutnya, kerajaan semasa mempunyai hak untuk memperkenalkan sebarang dasar atau meluluskan peruntukan selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.
"Kalau kerajaan itu kerajaan yang sah, tiada masalah untuk kerajaan membuat sesuatu dasar atau peruntukan, asalkan tidak bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Rabu.
Bagaimanapun Abd Halim berkata, jika terdapat laporan berserta bukti yang menunjukkan berlaku penyalahgunaan peruntukan atau kesalahan di bawah undang-undang, SPRM boleh menjalankan siasatan.
Beliau berkata, perkara itu berbeza dengan tindakan kerajaan sementara yang tidak sepatutnya memperkenalkan dasar baharu yang akan mengikat kerajaan selepas pilihan raya.
"Kerajaan sementara tidak boleh membuat sesuatu dasar baharu yang kemudiannya akan mengikat kerajaan yang akan datang," katanya.
Pada 26 Ogos lalu, 17 ADUN PH dan dua penyelaras DUN di Negeri Sembilan diarahkan memulangkan semula sebahagian peruntukan yang diterima bagi Ogos dan September.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, sebelum ini berkata, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan berkenaan pada 3 Jun dan dana disalurkan pada 4 Jun, sehari sebelum DUN dibubarkan.
Setiap anggota Exco menerima RM225,000 bagi tempoh tiga bulan, merangkumi RM180,000 untuk kebajikan awam dan RM45,000 bagi pusat khidmat DUN.
Daripada jumlah itu, RM75,000 bagi Julai boleh digunakan, manakala baki RM150,000 bagi Ogos dan September perlu dipulangkan.
Sementara itu, 10 ADUN PH biasa masing-masing menerima RM174,000 bagi tempoh tiga bulan, membabitkan RM45,000 sebulan untuk kebajikan awam dan RM13,000 bagi pusat khidmat DUN.
Dua penyelaras DUN pula masing-masing menerima RM150,000 bagi tempoh tiga bulan dan keseluruhan jumlah itu perlu dipulangkan.
Ismail berkata, keputusan berkenaan bertujuan memastikan penggunaan wang negeri mematuhi status penerima selepas pembubaran DUN, selain menjamin ketelusan serta integriti kewangan kerajaan negeri.
Pejabat Menteri Besar akan mengeluarkan surat tuntutan bayaran balik dan penerima diberi tempoh 30 hari untuk memulangkan wang berkenaan.