KOTA BHARU: Polis Kelantan telah membuka empat kertas siasatan yang berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), sepanjang kempen PRN hingga semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata ia termasuk kes khianat yang melibatkan perbuatan merosakkan poster-poster pilihan raya, fitnah, mengaibkan calon menerusi Facebook dan merosakkan "Billboard".

Katanya dua catatan di Facebook yang dikatakan mengaibkan calon, melibatkan catatan yang menuduh seorang calon tidak menunaikan sembahyang Jumaat, dan satu lagi catatan mengenai calon yang singgah minum kopi di sebuah kedai kopi sebelum menyampaikan sumbangan "1K".

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata kes-kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 10(a) Akta Pilihan Raya 1954, Seksyen 233 Akta Multimedia 1998, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

-- BERNAMA