Terkini: Kes Kematian pelatih Palapes UTM – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

PRN Sabah: Beri tokoh muda PKR peluang - Naib Ketua AMK Sabah

Abdul Hafiz Mustadi 25/08/2025 | 11:53 MYT
Mohammad Mirza (gambar) berkata, ini kerana bilangan pengundi muda di negeri itu yang mendominasi jumlah keseluruhan pemilih di Sabah merupakan justifikasi utama kepada tuntutan tersebut. - Foto Astro AWAN
KOTA KINABALU: Tokoh-tokoh muda dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah perlu diberi peluang untuk bersaing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah Mohammad Mirza Muazzam berkata, ini kerana bilangan pengundi muda di negeri itu yang mendominasi jumlah keseluruhan pemilih di Sabah merupakan justifikasi utama kepada tuntutan tersebut.

"Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, saya melihat dengan jelas gelombang semangat anak muda yang mahu tampil, memimpin dan membawa perubahan. Ini bukan lagi masanya untuk mereka hanya menjadi penonton. Anak muda sudah bersedia menjadi pemain utama di pentas politik negeri.

"Lebih separuh daripada rakyat Sabah hari ini berusia di bawah 40 tahun, satu realiti yang tidak boleh dipandang ringan. Jika kita benar-benar mahu membina masa depan Sabah yang makmur dan inklusif, suara anak muda mesti berada di meja pembuat keputusan, bukan sekadar bergema di luar pagar," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mirza turut menyeru kepimpinan tertinggi parti agar mengambil langkah berani mengetengahkan calon-calon muda yang terbukti mempunyai keberanian, visi dan keupayaan melalui aktivis sosial, gerakan reformasi dan kerja lapangan bersama masyarakat sekiranya PKR bercita-cita untuk menjadi parti masa depan.

"Saya menyeru kepimpinan parti untuk berani mengetengahkan calon-calon muda yang berkelayakan, berwibawa dan mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat. Calon yang memahami denyut nadi rakyat, mampu membina jaringan sokongan akar umbi yang kukuh, serta bijak menyampaikan dasar dalam bahasa yang mudah difahami dan dekat di hati orang ramai.

"Gabungan tenaga serta idealisme anak muda dengan kebijaksanaan kepimpinan sedia ada adalah kunci kepada pentadbiran yang segar, berani dan berdaya tahan. Inilah masanya untuk kita memperbaharui naratif pembangunan negeri dan melangkah keluar daripada kerangka lama," katanya.



#PRN Sabah #AMK #calon muda #pembaharuan parti #PKR