Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

PRN Sabah: Gunung Kinabalu lariskan 'Nasi Lemak Klasik Janji Setia' di Kampung Bobot

Hasimi Muhamad 25/10/2025 | 01:58 MYT
"Nasi Lemak Klasik Nasional Janji Setia" bermula pada 2017 di pondok kecil di tepi jalan, sebelum dikembangkan sebagai sebuah kedai yang terletak di Kampung Bobot, Tempasuk - Foto/ Astro AWANI
KOTA BELUD: Keharuman nasi lemak yang dimasak segar setiap pagi di Kampung Bobot, Tempasuk, Kota Belud kini menjadi satu tarikan utama bagi pelancong dan penduduk tempatan.

Di sebalik keenakan hidangan itu, tersimpan kisah kecekalan seorang wanita berusia 63 tahun, Setia Mutaib, yang menjadikan perniagaan nasi lemak sebagai lambang kasih kepada ibu dan tanah kelahirannya.

Terletak sekitar 68 kilometer (km) dari Kota Kinabalu, berdiri sebuah pondok sederhana tanpa dinding, dikenali sebagai "Nasi Lemak Klasik Nasional Janji Setia".

Selain keenakan makanan, lokasi kedai yang strategik menjadi tarikan utama, dengan pengunjung dapat menikmati pemandangan Gunung Kinabalu serta suasana desa yang tenang.

Memulakan bicara dengan wartawan Astro AWANI, Setia berkata, hampir 45 tahun dia menetap di Pulau Pinang sebelum kembali ke Sabah untuk menjaga ibunya yang uzur, ketika itu.

Kepulangan itu membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila dia mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata "Nasi Lemak Klasik Nasional Janji Setia" bermula pada 2017 di pondok kecil di tepi jalan, dengan pelanggan pertamanya dalam kalangan anggota polis.

"Saya tengok suasana dekat sini terlalu sibuk (jadi laluan penduduk), maka keluar idea ... fikir lebih baik saya berniaga nasi lemak.

"Pada mulanya, saya berniaga kecil-kecilan ... buat secara bungkus saja. Namun, Alhamdulillah mendapat sambutan.

"Saya pun sudah mengambil kira lokasi termasuk pemandangan Gunung Kinabalu. Sebab itu saya buka kedai ini tanpa dinding, senang pelanggan nak tengok pemandangan sekeliling," katanya.

Menu utama kedai ini ialah nasi lemak berkonsep klasik dengan cita rasa pedas, disajikan bersama lauk pilihan seperti ayam masak merah, ayam goreng, sotong dan udang goreng serta telur goreng.

Katanya, sejak jam 6 pagi, dia dan pekerjanya mula memasak lebih 10 kilogram (kg) nasi lemak dan kebiasaannya, semua akan laris terjual.

Foto Astro AWANI


Keistimewaan sambal yang pedas ala rasa di Semenanjung, membawa pelanggan datang dari pelbagai lokasi termasuk Sabah, selain Johor, Perak, Kelantan, hingga Terengganu.

"Mereka pergi bercuti ke Kundasang, mereka mesti singgah sini dulu.

"Saya ada tanya kenapa mereka jadikan tempat ini satu persinggahan? Mereka cakap ada tengok dalam TikTok dan mereka suka masakan yang pedas ala-ala Semenanjung.

"Sebab menu dekat sini memang berkonsepkan Semenanjung. Selain nasi lemak, ada juga rojak pasembur dan laksa utara," ceritanya lagi.

Kini, selepas hampir satu dekad berniaga, Setia menyimpan impian besar untuk membuka cawangan "Nasi Lemak Klasik Nasional Janji Setia" di Kota Kinabalu dan pekan-pekan berhampiran.

Dalam masa sama, sebagai anak jati Kampung Bobot, dia berharap agar pembangunan di kawasan itu turut ditingkatkan seperti infrastruktur jalan dan kemudahan awam bagi memudahkan para pelancong.

Untuk Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), empat Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi rebutan di bawah Parlimen Kota Belud.

Ia masing-masing DUN Tempasuk, Usukan, Pintasan, serta Kadamaian.

Pada PRN16, DUN Pintasan dimenangi oleh Datuk Fairuz Renddan yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), dengan majoriti 84 undi.

DUN Usukan dimenangi oleh Datuk Seri Salleh Said Keruak (Barisan Nasional), dengan majoriti 4,298 undi; manakala Datuk Mohd Arsad Bistari memenangi kerusi DUN Tempasuk dengan majoriti 1,685 undi.

Sementara itu, Datuk Ewon Benedick menang bergaya di DUN Kadamaian atas tiket Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dengan majoriti 3,459 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN17 pada 29 November depan, manakala hari penamaan dijadual berlangsung pada 15 November.






#Gunung Kinabalu #PRN Sabah #Nasi Lemak Klasik Nasional Janji Setia #Kota Belud Sabah