[TERKINI] Lagi Kes Serangan Seksual di Sekolah: 4 Pelajar Ditahan di Baling – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

PRN Sabah: Hari mengundi 29 Nov, penamaan calon 15 Nov - SPR

Hasimi Muhamad 16/10/2025 | 04:10 MYT
Ramlan menunjukkan peta Dewan Undangan Negeri Sabah pada sidang media pengumuman tarikh penting Pilihan Raya Negeri DUN Sabah hari ini. --fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan berlangsung pada 29 November depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas berkaitan tarikh-tarikh penting PRN17 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Ramlan berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 15 November dan 25 November.

"Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN17 membabitkan daftar pemilih tambahan Ogos 2025, yang dikemas kini hingga 5 Oktober lalu.

"Berdasarkan DPPR berkenaan, seramai 1,784,843 pengundi berdaftar layak menjalankan tanggungjawab dalam PRN17," katanya dalam sidang media tersebut, hari ini.

Sementara itu, Ramlan dalam kenyataan berasingan memaklumkan tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding sehingga pukul 11.59 malam, 28 November.

Urusan permohonan semua kategori undi pos luar dan dalam negara telah dibuka bermula 13 Oktober lalu.

“Sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan. Seramai 33,002 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN17.

"Manakala, sebanyak 882 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,558 tempat mengundi atau saluran dan 58 pusat mengundi awal yang mengandungi 87 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 940 buah,” ujarnya.

Daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar, seramai 1,760,417 orang adalah pengundi biasa, 11,697 tentera dan pasangan, manakala 12,729 polis serta pasangan.

Ramlan memaklumkan, kos untuk pelaksanaan PRN17 dianggarkan sebanyak RM116.8 juta.

Pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.

Pada PRN16, GRS yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah dengan memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.

Parti Warisan (Warisan) pula meraih 23 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.
















#PRN Sabah #Ramlan Harun #pilihan raya negeri #Suruhanjaya Pilihan Raya