MALAYSIA

PRN Sabah: Isu air berlarutan di Karamunting, penduduk gesa penyelesaian segera

Syaff Syukri 11/11/2025 | 23:00 MYT
Dari kiri, Abdul Hamid Dulih, Sarimah Duait dan Haslizah Abdul Hassan. Penduduk pernah berdepan situasi tiada bekalan air selama seminggu sehingga terpaksa membeli air mineral untuk wuduk dan memasak.
SANDAKAN: Masalah gangguan bekalan air di di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting di Sandakan, bukan isu baharu, sebaliknya sudah berlarutan sejak bertahun-tahun dan terus menghantui kehidupan penduduk setempat.

Bagi penduduk yang ditemui, isu ini bukan sekadar berlaku setahun dua, sebaliknya sudah berlarutan sejak sekian lama hingga menjejaskan kehidupan seharian.

Menurut Sarimah Duait yang merupakan penduduk Kampung Karamunting Baru, walaupun pelbagai kemajuan telah berlaku dari segi pembangunan infrastruktur, masalah air dilihat masih tidak menemui penyelesaian.

“Kami pernah berdepan situasi di mana kami tiada bekalan air selama seminggu sehingga terpaksa membeli air mineral untuk wuduk dan memasak.

“Kalau ada tangki pun tak cukup, susah betul nak cari air. Zaman dulu ada perigi, senanglah, sekarang sudah tiada,” katanya.

Bagi Haslizah Abdul Hassan, mereka terpaksa menanggung beban tambahan apabila perlu membeli air mineral setiap kali bekalan terputus.

Ini kerana menurutnya, tiada bantuan diberikan di saat penduduk berdepan kesukaran tiada bekalan air ini.

“Dari dulu memang banyak masalah air di Karamunting ni. Kadang sampai satu minggu, dua tiga hari begitu, memang teruk.

“Bila air mati, tiada bantuan macam bekalan air mineral atau lori hantar air. Jadi kami kena beli sendiri,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi Abdul Hamid Dulih, yang sudah menetap di kampung berkenaan sejak 1964, menyifatkan isu air di Karamunting sebagai masalah ‘turun-temurun’ yang berulang tanpa mengira parti atau kerajaan yang memerintah.

“Isu air ini kadang ada, kadang tiada. Tapi saya tak boleh salahkan semua sekali.

“Dulu masa USNO, Berjaya, PBS, UMNO, semua sama juga. Dalam lima tahun mesti ada bising pasal air.

“Ini macam jentera (peralatan) juga, tak akan kekal selamanya. Kadang-kadang rosak, macam manusia juga boleh demam,” katanya.

Justeru, besar harapan mereka agar isu ini dapat dinoktahkan segera bagi membolehkan semua penduduk di Karamunting boleh menjalani kehidupan harian sebaiknya.

Bagi penduduk Kampung Karamunting Baru, harapan mereka kini hanya satu, agar isu bekalan air yang berlarutan ini akhirnya mendapat penyelesaian menyeluruh dan berpanjangan, bukan lagi janji yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.
#gangguan bekalan air #DUN Karamunting #PRN Sabah 2025 #bekalan air