Sebahagian besar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah disumbangkan melalui sektor perkhidmatan seperti peruncitan, makanan dan minuman serta penginapan, iaitu sebanyak 38 peratus.

Namun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 memberi impak besar kepada sektor tersebut termasuk menjejaskan peniaga kecil di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Tinjauan Astro AWANI di sekitar Kota Kinabalu, Sabah mendapati rata-rata peniaga makanan terpaksa bergantung harap kepada bantuan kerajaan untuk meringankan beban mereka menanggung kos operasi.

Peniaga nasi lemak, Mohd Razali Che Mansor, 42 tahun, berkata, persediaan sudah dibuat memandangkan moratorium bayaran balik pinjaman akan berakhir tidak lama lagi.

Jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu, medium perniagaan menerusi perkhidmatan penghantaran makanan membantu perniagaannya kembali berjalan lancar.

"Perniagaan boleh cakap ada satu sisi, ia menurun. Ini kerana, kami biasa hantar (jualan) ke kedai-kedai kopi, jadi kedai kopi pun (tidak ramai orang)...

"Kami terpaksa ubah cara baharu iaitu menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan seperti Foodpanda atau Grabfood. Ia (perkhidmatan tersebut) dapat menampung (perniagaan) kami," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Jelas Mohd Razali, sepanjang tempoh PKP, perniagaannya mengalami kerugian lebih 50 peratus berbanding sebelumnya.

"Sebelum ini kami dapat hantar ke kedai lebih kurang 3,000 hingga 4,000 bungkus setiap pagi, tetapi sekarang tidak sampai 500 bungkus (nasi lemak).

"Biasanya kami kalau hantar nasi lemak di kedai kopi sejak dulu, (pemilik) kedai kopi akan jual dulu... yang terjual baru kami dapat duit, yang tidak terjual kami tidak dapat duit," katanya lagi.

 Siti Rakmah mengakui moratorium sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat

Sementara itu, seorang lagi peniaga makanan, Siti Rakmah Pillak, 43 tahun, berkata, moratorium sedikit sebanyak berjaya membantu rakyat dan peniaga kecil menghadapi krisis jangka pendek.

"Alhamdulillah... kami tak bayar sewa lagi. Mungkin kalau boleh ditambah (tempoh moratorium) sikit, (sebab) peniaga masih belum 'okay' lagi.

"Tetapi kalau kena bayar, kami (peniaga) mampu bayar (tiada pilihan)," ujarnya.

Setakat Julai lalu, sejumlah 243,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau 95 peratus daripada keseluruhan peminjam PKS menerima manfaat daripada moratorium dengan nilai RM20.7 bilion.