PRN Sarawak: The Community Chest pergiat usaha perkasa pendidikan luar bandar

Syafik Shukri Jalil
Disember 15, 2021 10:23 MYT
Blok dua tingkat di Sekolah Kebangsaan Sungai Amang, Kapit, bernilai RM1.2 juta yang dibangunkan The Community Chest. - Foto Astro AWANI
BUKT GORAM: Bagi memperkasakan sektor pendidikan di seluruh negara, The Community Chest, mempergiatkan usaha murni dengan menyediakan ruang pembelajaran lebih selesa kepada murid sekolah.
Terbaharu, pertubuhan badan kerajaan (NGO) ini membangunkan sebuah blok dua tingkat di Sekolah Kebangsaan Sungai Amang, Kapit, bernilai RM1.2 juta.
Dilengkapi lapan bilik darjah serba moden, penubuhan ini akan mampu memberi keselesaan kepada lebih 700 pelajar di sekolah itu.
Menurut Konsultan Projek yang juga berasal dari Kapit, Henry Chuo Khuong Hang, pembangunan infrastruktur ini akan mampu meningkatkan tahap pembelajaran dan pengajaran pelajar serta guru di sekolah itu.
Ujarnya usaha murni ini juga mungkin tidak dapat dijayakan tanpa sokongan daripada The Community Chest bersama penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat.
“Inisiatif ini mendapat sambutan dan sokongan luar biasa daripada banyak pihak dan pastinya kita ingin pembangunan seperti ini dapat diperluaskan.
“Ini kerana ia mampu meningkatkan tahap pendidikan pelajar di luar bandar dan membantu mereka menjadi lebih cemerlang,” katanya.
Henry berkata demikian selepas sesi penyerahan bangunan itu daripada kontraktor Syarikat Sinar Mas kepada pengetua sekolah, Dennis Reba disaksikan oleh calon GPS Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat pada Rabu.
Sementara bagi Jefferson, inisiatif kerjasama ini membuktikan Kerajaan Negeri Sarawak sentiasa komited untuk memperkasakan sektor pendidikan di negeri itu.
Ini kerana dengan pembangunan fasiliti seperti ini, ia mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang.
“Jadi kita di Kapit mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tan Sri Leonard Linggi (mantan Pemegang Amanah Kehormat The Community Chest) dan komuniti The Chest Community Malaysia yang memberi peruntukkan untuk pembangunan ini.
“Pembinaan ini sebagai bukti komitmen kita untuk terus memperkasakan sektor pendidikan dengan menyediakan fasiliti yang terbaik untuk pelajar-pelajar sekolah di sini,” katanya lagi.
Projek pembinaan bangunan baharu SK Sungai Amang mula dibangunkan pada Januari 2020 dan siap sepenuhnya pada Mei 2021.
#PRN Sarawak #The Community Chest #Sekolah Kebangsaan Sungai Amang #Dewan Undangan Negeri DUN Bukit Goram